Presiden Argentina dibaling batu ketika perhimpunan kempen - Utusan Malaysia

Presiden Argentina dibaling batu ketika perhimpunan kempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Presiden Argentina, Javier Milei tidak mengalami sebarang kecederaan selepas menjadi sasaran balingan batu ketika menghadiri satu perhimpunan kempen berhampiran Buenos Aires pada Rabu, menurut agensi berita Jerman, dpa.

Jurucakap presiden, Manuel Adorni, dalam satu kenyataan di platform X, memaklumkan Milei telah dipindahkan dengan selamat dari lokasi kejadian di Lomas de Zamora, sebuah kawasan miskin di pinggir ibu negara.

Insiden itu turut menyaksikan berlaku kekecohan antara penyokong dan penentang Milei. Media tempatan melaporkan dua individu telah ditahan sementara oleh pihak polis berikutan pertembungan tersebut.

Beberapa pegawai kerajaan menyalahkan kejadian itu kepada penyokong “kirchnerism”, merujuk kepada kumpulan politik yang menyokong bekas Presiden Cristina Fernandez de Kirchner.

Selepas kejadian, Milei memuat naik gambar di platform X yang memperlihatkan beliau tersenyum bersama adiknya, Karina Milei, serta Ahli Parlimen Jose Luis Espert.

Kejadian tersebut berlaku ketika Milei sedang giat berkempen untuk partinya, La Libertad Avanza, menjelang pilihan raya tempatan wilayah Buenos Aires yang dijadual berlangsung pada 7 September.

Sebelum ini, pada Isnin, satu lagi pertembungan dilaporkan di Junin semasa satu perhimpunan lain, di mana Milei tidak sempat menyampaikan ucapannya akibat kekacauan yang tercetus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN