Polis Turkiye rampas barang kemas, artifak lebih RM126 juta di Grand Bazaar - Utusan Malaysia

Polis Turkiye rampas barang kemas, artifak lebih RM126 juta di Grand Bazaar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Polis Turkiye merampas barang kemas dan artifak antik yang dianggarkan bernilai AS$30 juta (RM126.8 juta) dalam satu operasi besar-besaran di Grand Bazaar, pasar bersejarah berusia 15 abad di Istanbul, lapor media tempatan pada Rabu.

Operasi tersebut dilancarkan susulan siasatan terhadap penyeludupan berlian ke dalam Turkiye yang menyaksikan 10 suspek pertama kali ditahan, menurut laporan CNN Turk dan beberapa saluran media lain.

Bertindak atas arahan Pejabat Pendakwa Raya Istanbul, pihak polis menyerbu 23 premis perniagaan di dalam pasar tertutup era Uthmaniyyah itu dan menahan 40 individu lagi.

Menurut laporan, rampasan termasuk 135 keping barang kemas, 1,132 jongkong logam berharga serta 267 artifak bersejarah, selain senjata api dan bahan digital yang turut disita sebagai sebahagian daripada bukti.

Grand Bazaar, yang diasaskan oleh Sultan Mehmed II tidak lama selepas menawan kota itu daripada Empayar Byzantine merupakan salah satu destinasi pelancongan paling popular di dunia, dengan ribuan kedai kecil beroperasi di dalamnya.

Pasar ini sering digambarkan sebagai pusat beli-belah pertama dunia oleh pemandu pelancong, dan bukan asing dengan siasatan pihak berkuasa.

Pada April lalu, sebuah syarikat yang berurusan dalam mata wang asing dan logam berharga turut diserbu atas dakwaan pengubahan wang haram. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN