GAZA: Selama berdekad-dekad, Palestin sudah mula diiktiraf sebagai sebuah negara oleh majoriti masyarakat antarabangsa namun, ia tidak memberi sebarang makna jika tiada tindakan tegas dikenakan terhadap Israel yang masih bermaharajalela melakukan genosid dan kekejaman.
Pakar politik dan pejuang hak asasi manusia, Ranjan Solomon menegaskan, tanpa sekatan atau tekanan sebenar terhadap rejim Zionis, kenyataan sokongan itu hanya sekadar cakap ‘kosong’ yang tidak memberi sebarang kesan terhadap penindasan selama bertahun-tahun yang dialami penduduk Palestin.
Sebanyak 143 negara sudah memberikan pengiktirafan diplomatik, satu angka yang pada zahirnya menunjukkan konsensus kukuh terhadap hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
Namun realiti di lapangan kekal suram apabila Gaza terus terperangkap dalam kepungan hingga dilanda kebuluran, dengan penempatan haram Israel pula semakin meluas di Tebing Barat sementara jutaan lagi pelarian Palestin masih hidup dalam buangan.
“Percanggahan antara pengiktirafan simbolik dengan hakikat kehidupan rakyat Palestin mendedahkan satu kebenaran pahit, pengiktirafan semata-mata tidak mempunyai kekuatan daya paksaan, cuma menjentik rejim Zionis itu.
“Ia memberi gambaran seolah-olah kewajipan moral sudah dipenuhi, sedangkan keadaan di lapangan tidak berubah. Kanak-kanak Gaza masih minum air tercemar, petani Tebing Barat terus dihalau, pelarian masih dinafikan hak kembali dan penempatan haram Israel terus berkembang.
“Ia tidak mengubah kalkulus sebuah negara apartheid yang wujud berasaskan perkauman, perluasan kolonial dan penindasan sistematik terhadap seluruh bangsa,” katanya.
Sejarah penindasan terancang
Sejak Nakba 1948, pengusiran besar-besaran lebih 700,000 rakyat Palestin hingga serangan bom berterusan di Gaza hari ini, Israel beroperasi sebagai sebuah projek penjajah penempatan yang berpaksikan pengusiran penduduk asal serta monopoli tanah, sumber dan kuasa politik.
Pakar undang-undang antarabangsa, termasuk bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia di Wilayah Palestin, Richard Falk mengklasifikasikan dasar Israel sebagai apartheid, melanggar Konvensyen Antarabangsa 1973 mengenai Penghapusan dan Hukuman Jenayah Apartheid.
Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menegaskan pendudukan dan rampasan tanah Israel di Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa serta perlu ditamatkan secepat mungkin.
Namun tanpa mekanisme penguatkuasaan, deklarasi ini hanya tinggal kenyataan tanpa ‘taring’ yang begitu mudah diabaikan oleh Israel.
Israel kekal menikmati kedudukan istimewa dalam sistem global, berdagang bebas, menyertai acara kebudayaan dan sukan antarabangsa, menerima bantuan ketenteraan berbilion dolar terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) serta dilindungi veto kuasa Barat di Majlis Keselamatan PBB.
“Pengiktirafan terhadap Palestin tidak mengubah satu pun realiti ini. Ia tidak mendarat pesawat yang membekalkan senjata untuk kempen pengeboman, tidak membekukan akaun asing syarikat yang mendapat keuntungan daripada pendudukan, tidak menghalang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu daripada disambut di atas permaidani merah di ibu negara Barat.
“Sejarah membuktikan apartheid di Afrika Selatan runtuh bukan kerana pengiktirafan semata-mata terhadap perjuangan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), tetapi kerana dunia menjadikannya ‘pariah global’ melalui boikot sukan, embargo senjata, sekatan ekonomi dan penggantungan daripada PBB serta Komanwel.
“Pengiktirafan perlu, tetapi pengasingan yang menyeluruhlah yang memaksa perubahan. Tanpa pengasingan sedemikian, kerajaan ketuanan kulit putih Afrika Selatan akan terus mengukuhkan dirinya, sama seperti yang dilakukan Israel hari ini,” tegas Solomon.
Laporan-laporan daripada Amnesty International, Human Rights Watch, dan B’Tselem semuanya menyimpulkan perkara sama.
Menurut beliau, laporan-laporan daripada Amnesty International, Human Rights Watch, dan B’Tselem semuanya menyimpulkan perkara sama.
Tegasnya, tanpa langkah sekatan ekonomi, rejim ini terus memperluaskan pendudukan haram dan penjarahan mereka tanpa rasa takut apabila negara-negara Barat boleh berpura-pura menyokong keadilan sambil mengekalkan hubungan ketenteraan dan perdagangan sementara syarikat multinasional terus meraih keuntungan daripada penempatan haram.
Piagam PBB (Artikel 39–41) memberi kuasa kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara yang mengancam keamanan, manakala Konvensyen Genosid mewajibkan negara penandatangan mencegah jenayah pembunuhan beramai-ramai dengan segala cara yang ada.
Dwi standard kuasa Barat
Pada Januari 2024, ICJ dalam kes Afrika Selatan menentang Israel, mendapati wujud kemungkinan genosid di Gaza dan mengarahkan Israel mencegahnya tetapi arahan itu diingkari secara terbuka.
Tindakan memutuskan hubungan diplomatik dan penggantungan daripada PBB juga bukan sesuatu yang mustahil.
Afrika Selatan digantung daripada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 1974, manakala Yugoslavia menghadapi nasib sama pada 1992 kerana pencerobohan ke atas Bosnia.
Tegas Solomon, jika standard undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara telus tanpa berat sebelah, maka apartheid Israel dan projek kolonialnya, ditambah dakwaan genosid yang diyakini sahih turut membenarkan langkah serupa.
Negara Barat sering memberi alasan sekatan akan menjejaskan dialog atau mengasingkan masyarakat Israel, sama seperti hujah yang pernah digunakan terhadap boikot Afrika Selatan.
Ironinya, kuasa Barat mampu mengenakan sekatan dengan segera terhadap Russia ketika ia menyerang Ukraine, tetapi gagal bertindak tegas apabila Israel melakukan penindasan berlarutan.
Dwi standard ini meruntuhkan kredibiliti sistem antarabangsa, mendedahkan hierarki perkauman yang masih berakar.
“Dunia kini berdepan pilihan jelas, sama ada menjadikan pengiktirafan sebagai titik mula kepada kempen pengasingan total terhadap Israel sehingga kebebasan rakyat Palestin benar-benar menjadi realiti dan bukan lagi fiksyen diplomatik, atau terus menjadikannya sekadar simbol kosong di tengah-tengah pembersihan etnik yang berterusan.
“Seperti kata mendiang Uskup Agung, Desmond Tutu, jika kita berkecuali dalam situasi ketidakadilan, kita sebenarnya sudah memilih pihak penindas,” kata Solomon. – AGENSI










