Penduduk Gaza hanya mampu teguk air keruh penuh kuman

Penduduk Gaza hanya mampu teguk air keruh penuh kuman

SEORANG kanak-kanak perempuan minum air dari baldi plastik ketika cuaca panas terik di kawasan Al-Mawasi di Khan Younis, selatan Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Setiap pagi di Gaza, ibu muda, Rana Odeh terpaksa beratur lebih sejam di bawah terik matahari demi mendapatkan setong air yang keruh.

Sejurus pulang ke khemahnya, Rana mengelap peluh di dahi lalu membahagikan air itu ke dalam botol kecil untuk dua anak kecilnya.

Dari warna sahaja, Rana tahu air itu sangat tercemar, namun dahaga mereka sekeluarga mengatasi rasa takut akan penyakit.

“Kami terpaksa memberikannya kepada anak-anak kerana tiada pilihan lain,” katanya yang terpaksa berpindah dari rumahnya di Khan Younis.

Situasi itu sudah menjadi rutin suram di Al-Mawasi, sebuah kem penempatan besar di tengah Gaza yang menampung ratusan ribu pelarian.

Kehausan dalam gelombang haba

Dalam cuaca musim panas membakar, kanak-kanak dan ibu bapa berlari mengejar lori air yang hanya datang dua atau tiga hari sekali, bergegas mengisi botol, tong dan baldi sebelum mengangkutnya pulang.

Setiap titis dicatu untuk diminum, memasak, membersih dan mandi, malah ada yang terpaksa mengitar semula air yang sudah digunakan, menyimpan baki setinggi beberapa inci di dalam tong untuk keperluan hari esok jika hayat masih dikandung badan.

Apabila bekalan gagal tiba, Rana dan anak lelakinya tidak punya pilihan selain mengisi botol dengan air laut.

Dalam tempoh 22 bulan perang, akses air di Gaza semakin parah selepas sekatan ke atas bekalan bahan api dan elektrik menjejaskan operasi loji penyahgaraman, sementara paip-paip utama rosak akibat serangan udara.

LELAKI Palestin bersama tiga anaknya menolak kereta sorong yang membawa tangki air di kem Bureij, tengah Gaza. – AFP

Hanya 137 daripada 392 telaga masih berfungsi dan kekurangan bahan api memperlahankan pam dan lori penghantar air.

Air bawah tanah pula tercemar dengan najis, runtuhan bangunan dan sisa senjata, dengan sebahagian besar telaga tidak lagi dapat digunakan.

Kekurangan air dalam gelombang haba mencecah 35 darjah Celsius kini memburukkan lagi penyebaran penyakit di wilayah itu.

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), pusat kesihatan kendaliannya kini menerima purata 10,300 pesakit seminggu dengan penyakit berjangkit majoritinya cirit-birit akibat air tercemar.

Seorang bapa, Mahmoud al-Dibs yang berpindah dari Gaza City ke Al-Mawasi, menuang air dari beg plastik ke kepalanya untuk menyejukkan diri.

“Di luar khemah panas, di dalam khemah juga panas. Jadi kami terpaksa minum air ini di mana-mana sahaja,” katanya.

Bekalan air penuh kuman

Ramai penduduk akur mereka terpaksa minum air yang tidak selamat. Menurut badan amal Oxfam, tangki di atas bumbung rumah yang masih wujud tidak dapat dibersihkan kerana ketiadaan air mencukupi, menjadikan alirannya kuning dan bahaya diminum.

Sebelum perang, penduduk Gaza yang berjumlah lebih dua juta bergantung kepada campuran sumber daripada syarikat air Israel; Mekorot, loji penyahgaraman, telaga air masin dan sebahagian lagi melalui air botol import.

“Sistem kumbahan yang tidak dirawat bercampur dengan air minuman. Apabila penduduk meminumnya atau menggunakannya untuk membasuh makanan, mereka sebenarnya menelan kuman dan terdedah kepada penyakit disentri.

“Namun mereka terpaksa minum air payau ini, yang diketahui akan merosakkan buah pinggang dan boleh menyebabkan rawatan dialisis berdekad-dekad,” kata Ketua Geneva Water Hub, Mark Zeitoun.

Ketika ini, purata bekalan air hanyalah kurang daripada tiga liter seorang sehari, jauh di bawah piawaian kemanusiaan iaitu 15 liter sehari.

Selepas berdepan kecaman global antarabangsa rejim Zionis baru-baru ini memulihkan sebahagian bekalan, termasuk menyambung semula satu loji penyahgaraman ke grid elektrik Israel dan menyalurkan air melalui dua paip utama Mekorot.

Namun Ketua Perkhidmatan Air Perbandaran Pesisir Gaza, Monther Shoblaq berkata, pengeluaran masih jauh daripada kapasiti asal.

“Kami terpaksa memilih antara menghantar air ke hospital dan penduduk atau menggunakannya untuk rawatan kumbahan. Pilihan ini tentu akan meningkatkan risiko kesihatan.

“Krisis air tidak mencetuskan kemarahan global seperti sekatan makanan ke Gaza. Namun terdapat kaitan langsung antara masalah ini dengan potensi kehilangan nyawa. Sudah jelas anda boleh bertahan selama beberapa hari tanpa makanan, tetapi bukan tanpa air,” tegasnya.

Terdapat sedikit harapan apabila sebuah loji penyahgaraman yang dibiayai Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Rafah, Mesir dijangka menyalurkan air ke Gaza melalui paip khas dalam beberapa minggu akan datang.

Loji ini tidak bergantung pada tenaga Israel, tetapi kemasukan air tetap dikawal tentera rejim yang menguasai lintasan sempadan.

Kumpulan bantuan memberi amaran akses ini boleh terganggu semula jika Israel meneruskan operasi ketenteraan baharu di kawasan yang masih di luar kawalannya, termasuk Gaza City dan Al-Mawasi.

Bagi seorang lagi pelarian dari Khan Younis, Hosni Shaheen, air yang ada dianggap sekadar jalan terakhir.

“Ia menyebabkan kekejangan perut pada orang dewasa dan kanak-kanak, tiada siapa yang terkecuali. Anda tidak pernah rasa selamat apabila melihat anak-anak minum air itu tetapi apakan daya, itu sahaja yang ada buat kami,” rintihnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN