GAZA: Ketika pelajar di seluruh United Kingdom (UK) meraikan kejayaan memperoleh tempat di universiti, seorang doktor muda di Gaza menerima berita yang dinantikannya sewaktu berlindung di pusat perlindungan di tengah wilayah bergolak itu.
Mahmoud, 27, yang ditawarkan biasiswa berprestij untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam dasar kesihatan global di London School of Economics, baru sahaja menamatkan syif malam merawat pesakit trauma di hospital medan sebelum menerima berita gembira tersebut.
“Saya sangat gembira apabila dianugerahkan biasiswa itu. Ia memberi saya semangat untuk terus bekerja, walaupun saya jarang bercerita tentangnya kerana keadaan yang sangat tidak menentu,” katanya kepada BBC News.
Mahmoud adalah antara sembilan pelajar Gaza yang menerima emel daripada kerajaan UK minggu ini, memaklumkan usaha sedang dijalankan untuk memudahkan pemindahan mereka keluar dari wilayah berkenaan.
Jika berjaya, mereka bakal menjadi kumpulan pertama meninggalkan Gaza untuk menyambung pengajian di UK sejak perang bermula.
Usaha itu susulan kempen berbulan-bulan ahli politik, akademik dan pertubuhan lain dalam memperjuangkan nasib lebih 80 pelajar Palestin yang mendapat tawaran pengajian daripada universiti di UK tahun ini, termasuk sekitar 50 pelajar memperoleh tajaan biasiswa penuh.
Penerima biasiswa Chevening seperti Mahmoud turut diminta mengesahkan hasrat mereka untuk dipindahkan, selain memberikan anggaran lokasi di Gaza.
KEGEMBIRAAN SARAT KESEDIHAN
Berpangkalan dari Beit Lahia di utara Gaza, Mahmoud mengakui impian untuk belajar di UK sudah dipupuk sejak kecil.
Apabila perang tercetus, beliau tampil sebagai sukarelawan di unit pembedahan plastik dan rekonstruktif di Hospital al-Shifa, sebelum berkhidmat di wad sementara di seluruh Gaza.
Mahmoud berharap pencapaiannya nanti dapat menyumbang kepada usaha membangunkan semula sistem penjagaan kesihatan di wilayah tersebut.
“Hidup tidak pernah mudah. Sepanjang dua tahun lalu saya menyaksikan penderitaan, berada di sisi keluarga dalam tempoh sukar sambil meletakkan harapan untuk masa depan sendiri,” katanya.
Mahmoud yang tinggal bersama isteri, ibu bapa dan tiga adik perempuan, tidak pasti sama ada keluarganya dapat bersama jika dipindahkan keluar dari Gaza.
“Itu peluang sekali seumur hidup, tetapi sukar untuk saya tinggalkan keluarga yang berdepan perpindahan berterusan, kebuluran dan kekacauan seperti sekarang,” katanya.
Menurut seorang lagi penerima biasiswa Chevening, Mohammed, 25, tawaran melanjutkan pengajian sarjana di Universiti Glasgow menjadi detik yang tidak mungkin dilupakan.
Seorang rakan di UK menyampaikan mesej kepada abangnya, yang kemudian bergegas ke khemah tempat Mohammed tinggal dan menggesanya mencari capaian internet untuk memeriksa emel.
“Apabila saya melihat perkataan ‘tahniah’, saya terkaku seketika. Walaupun hanya sebentar, bunyi bom dan ketakutan di sekeliling hilang, dan saya seolah-olah merasakan harapan,” katanya.
Sama seperti Mahmoud, harapan untuk dipindahkan keluar dari Gaza datang bersama rasa pilu.
“Ia bagaikan sinar selepas kegelapan, peluang melangkah ke hadapan, tetapi kegembiraan itu sarat dengan kesedihan.
“Keluarga saya masih ada dan hidup, namun mereka terus berdepan ancaman setiap hari. Meninggalkan mereka akan menjadi keputusan paling sukar dalam hidup saya,” katanya kepada program The World Tonight di Radio 4.
PELUANG PENDIDIKAN DIRAGUT
Kemusnahan di Gaza bukan hanya meragut peluang pendidikan tinggi, bahkan juga ribuan kanak-kanak yang kehilangan hak untuk mendapat pendidikan asas.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan sembilan daripada 10 sekolah di Gaza, termasuk di bawah kendaliannya, musnah sepenuhnya akibat bedilan Israel.










