GAZA: Sekumpulan pejuang Palestin melancarkan serangan mengejut terhadap sebuah pos tentera Israel selepas muncul dari terowong bawah tanah di bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, semalam, lapor media Israel.
Serangan berhampiran paksi Morag itu mengakibatkan dua askar Israel cedera apabila lebih 14 pejuang Palestin menyerbu kedudukan tentera, menurut laporan akhbar Yedioth Ahronoth.
Radio Tentera Israel menyifatkan serangan tersebut sebagai tidak pernah berlaku dan berbeza daripada serangan sebelum ini, sambil mendedahkan penilaian awal keselamatan menunjukkan kumpulan bersenjata itu berhasrat menculik anggota tentera.
Akhbar Israel Hayom pula melaporkan tentera Israel percaya kumpulan tersebut merancang untuk menawan pos berkenaan dan menjadikan askar sebagai tebusan.
Saluran Channel 12 melaporkan kumpulan pejuang itu melepaskan tembakan senjata automatik dan pelancar bom tangan sebelum tentera Israel membalas dengan tembakan kereta kebal dan serangan udara.
Sayap bersenjata kumpulan Hamas, Briged al-Qassam, mengesahkan serangan itu dan mendakwa beberapa anggota tentera Israel terbunuh dan cedera dalam operasi tersebut.
Walaupun perang genosid ke atas Gaza sudah berlanjutan lebih 22 bulan sejak 7 Oktober 2023, kumpulan pejuang Palestin terus mengatur serangan taktikal yang memerangkap tentera Israel, sekali gus memperlihatkan kegagalan Tel Aviv mencapai matlamat ketenteraan yang digembar-gemburkan.
Sehingga kini, serangan ketenteraan Israel telah meragut nyawa lebih 62,100 penduduk Palestin di Gaza, selain memusnahkan sebahagian besar kawasan penempatan dan mengakibatkan penduduk berdepan krisis kebuluran yang semakin kritikal.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga kini berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan kempen ketenteraan yang disifatkan komuniti antarabangsa sebagai pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin di Gaza. -AGENSI










