Netanyahu dalang tujuh gencatan senjata Gaza gagal

Netanyahu dalang tujuh gencatan senjata Gaza gagal

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel berulang kali menggagalkan usaha mencapai gencatan senjata dengan Hamas sepanjang hampir dua tahun perang di Gaza, walaupun kumpulan pejuang itu bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.

Menurut program penyiasatan HaMakor di Channel 13, perjanjian gencatan senjata itu digagalkan sebanyak tujuh kali, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, didakwa menjadi dalang utama yang menghalang persetujuan.

Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang ditemu bual berkata, Netanyahu sering tunduk kepada tekanan daripada pemimpin pelampau sayap kanan, termasuk Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir.

Jurucakap Jabatan Negara AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, Matthew Miller, turut mendedahkan pada awal perang Oktober 2023, Hamas sudah bersedia untuk membebaskan beberapa tebusan.

“Kami berusaha untuk menyampaikan perkara itu kepada kerajaan Israel,” kata Miller, namun menegaskan Washington gagal mendapatkan sesiapa di sana yang mahu mengambil serius, merujuk kepemimpinan Israel.

Menteri Pertahanan ketika itu, Yoav Gallant, memberitahu HaMakor, beliau mengarahkan pegawai bawahannya untuk tidak berunding dengan Hamas dan mahu kumpulan pejuang datang kepada Israel.

Ahli Kabinet Perang, Gadi Eisenkot, pula berkata kerajaan Israel pada awalnya langsung tidak berusaha untuk membebaskan tebusan, selain menegaskan matlamat perang tidak langsung merangkumi pembebasan tawanan di Gaza.

Katanya, gencatan senjata pertama pada November 2023 hanya berlaku selepas Netanyahu dan Gallant meletakkan pelbagai halangan.

Eisenkot berkata, perjanjian itu sepatutnya boleh dilanjutkan, namun kerajaan Israel enggan meneruskan kecuali Hamas bersetuju membebaskan baki tebusan wanita.

“Kita sebenarnya boleh membawa pulang tebusan warga emas dan mangsa cedera dalam keadaan masih hidup, malangnya mereka dibiarkan dibunuh atau terbunuh,” katanya.

HaMakor turut mendedahkan, sejak Januari 2024, pegawai kanan Israel termasuk Netanyahu didakwa sengaja mengelirukan media dengan mendakwa terdapat kemajuan ke arah perjanjian, walaupun ketika itu tiada sebarang persefahaman dicapai dengan Hamas.

Miller berkata, Israel me­nerima cadangan AS pada April 2024, sebelum serangan darat ke bandar Rafah, bagi melaksanakan gencatan senjata selama enam minggu.

Rancangan itu tidak mewajibkan Israel menamatkan perang, sebaliknya bertujuan menghentikan operasi ketenteraan di Rafah.

Namun, keengganan Netanyahu yang tetap bertegas untuk menyerang bandar tersebut me­rumitkan rundingan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×