KAHERAH: Mesir menegaskan pendiriannya yang keras dan tidak berbelah bahagi dalam menolak sebarang usaha memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka, khususnya dari Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Mesir meluahkan kebimbangan mendalam terhadap laporan Israel sedang berunding dengan beberapa negara untuk menerima rakyat Palestin sebagai pelarian di wilayah mereka.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada dasar Israel yang tidak boleh diterima, bertujuan mengosongkan bumi Palestin daripada penduduk asal, menduduki wilayah itu, dan memusnahkan perjuangan rakyat Palestin,” kata kenyataan itu, seperti dilaporkan oleh Agensi Berita Palestin (WAFA).
Melalui hubungan diplomatik dengan negara-negara yang dilaporkan terlibat, Kaherah menegaskan penolakan sepenuhnya terhadap rancangan pemindahan ini, yang dianggap tercela dan tidak bermoral.
Mesir menyatakan apa jua bentuk penempatan semula, sama ada secara paksa atau ‘sukarela’ yang berlaku melalui tekanan seperti dasar kelaparan, perampasan tanah, penempatan haram adalah satu ketidakadilan sejarah yang nyata.
Kaherah turut mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa usaha ini bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, melanggar empat Konvensyen Geneva dan boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang dan pembersihan etnik
Mesir menyeru semua negara yang cintakan keamanan agar tidak terlibat dalam jenayah ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Kenyataan itu turut membawa amaran keras mana-mana pihak yang menyertai atau menyokong pemindahan rakyat Palestin akan memikul tanggungjawab sejarah dan undang-undang, implikasi politik besar serta kesan serius di peringkat serantau dan antarabangsa.










