WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan siasatan terhadap pegawai-pegawai AS dan Israel yang didakwa terlibat dalam jenayah perang.
Pada Rabu, Jabatan Negara AS mengumumkan sekatan baharu terhadap empat pegawai ICC yang didakwa memainkan peranan utama dalam usaha memulakan pendakwaan terhadap warganegara AS dan Israel.
Langkah terbaharu ini merupakan kesinambungan daripada tindakan-tindakan sebelumnya terhadap mahkamah berpusat di The Hague yang juga tribunal jenayah perang antarabangsa pertama di dunia.
AS sebelum ini turut mengenakan sekatan terhadap bekas Ketua Pendakwa ICC, Karim Khan, yang meletakkan jawatan pada Mei lalu sementara siasatan terhadap dakwaan salah laku seksual dijalankan, selain empat orang hakim tribunal yang lain.
Setiausaha Negara Marco Rubio memaklumkan tindakan diambil terhadap dua orang hakim ICC iaitu Kimberly Prost dari Kanada dan Nicolas Guillou dari Perancis serta dua orang pendakwa, Nazhat Shameem Khan dari Fiji dan Mame Mandiaye Niang dari Senegal.
Beliau menegaskan, pentadbiran AS akan terus melakukan apa jua tindakan bagi melindungi tentera, kedaulatan dan sekutunya daripada tindakan yang tidak sah dan tidak berasas.
Jabatan Negara menyatakan Prost dikenakan sekatan kerana beliau meluluskan siasatan ICC terhadap anggota tentera AS di Afghanistan, sebelum ia digugurkan.
Guillou dikenakan tindakan kerana membenarkan waran tangkap ICC dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant manakala Nazhat Khan dan Niang disekat kerana meneruskan siasatan Karim Khan terhadap tindakan Israel di Gaza.










