SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, memberi amaran keras negaranya akan mempercepat pengembangan senjata nuklear, susulan latihan ketenteraan bersama antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang kini berlangsung.
Menurut laporan media rasmi Korean Central News Agency (KCNA), Jong-un mendakwa latihan itu menunjukkan niat Washington dan Seoul untuk mencetuskan peperangan di Semenanjung Korea.
“Hubungan ketenteraan yang semakin erat antara AS dan Korea Selatan serta aksi tunjuk kuasa mereka jelas memperlihatkan niat jahat untuk memulakan perang.
“Situasi ini menuntut kita untuk melakukan perubahan mendadak dalam strategi ketenteraan, serta mempercepat usaha nuklearisasi negara,” katanya.
Kenyataan tegas itu dibuat ketika Jong-un melawat kapal pemusnah tentera laut ‘Choe Hyon’ pada Ahad, dengan beliau menerima taklimat penuh mengenai sistem senjata dan kemajuan teknologi kapal tersebut.
Beliau menyatakan puas hati dengan kemajuan program pembangunan tentera laut Korea Utara ke arah menjadi kuasa maritim berteknologi tinggi dan bersenjata nuklear.
Beliau turut memaklumkan projek tersebut sedang berjalan lancar dan dijangka mencapai sasaran penilaian menjelang Oktober ini.
Sementara itu, AS dan Korea Selatan memulakan latihan ketenteraan tahunan mereka semalam, yang dijadual berlangsung selama 11 hari.
Latihan tersebut melibatkan beberapa ujian tembakan sebenar berskala besar dan digambarkan oleh pihak tentera AS sebagai “berorientasikan pertahanan”, namun tetap menimbulkan kemarahan Pyongyang.










