Kapal China bertembung ketika kejar bot Filipina di Laut China Selatan

Kapal China bertembung ketika kejar bot Filipina di Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Sebuah kapal tentera laut China bertembung dengan kapal pengawal pantainya sendiri ketika mengejar bot peronda Filipina di Laut China Selatan pada Isnin, menurut Manila yang turut mendedahkan rakaman video dramatik insiden tersebut.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Komodor Jay Tarriela berkata, kejadian itu berlaku berhampiran Terumbu Scarborough yang dipertikaikan ketika pasukan pengawal pantai Filipina mengiringi bot-bot yang mengagihkan bantuan kepada para nelayan di kawasan tersebut.

Rakaman video yang dikeluarkan Manila menunjukkan sebuah kapal Pengawal Pantai China dan sebuah kapal yang lebih besar dengan nombor 164 pada badannya bertembung dengan bunyi hentaman kuat.

“Kapal Pengawal Pantai China, CCG 3104 ketika itu mengejar kapal pengawal pantai Filipina, BRP Suluan pada kelajuan tinggi.

“Ia melakukan gerakan berisiko dari bahagian kanan belakang kapal Filipina, sehingga menyebabkan perlanggaran dengan kapal perang Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLA) .

“Insiden ini mengakibatkan kerosakan besar pada bahagian haluan kapal CCG, menjadikannya tidak lagi layak belayar,” katanya.

Jurucakap Pengawal Pantai China, Gan Yu mengesahkan berlakunya konfrontasi itu namun tidak menyebut tentang perlanggaran.

“Pengawal Pantai China mengambil langkah yang perlu mengikut undang-undang, termasuk memantau, menekan dari luar, menghalang dan mengawal kapal-kapal Filipina untuk mengusir mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Perlanggaran yang dilaporkan ini merupakan insiden terbaharu dalam siri ketegangan antara China dan Filipina di Laut China Selatan.

Kawasan tersebut hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing walaupun keputusan tribunal antarabangsa menyatakan tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.

Lebih 60 peratus perdagangan maritim global melalui laluan perairan yang dipertikaikan itu.

Dalam sidang media pagi tadi, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos menegaskan kapal peronda negaranya akan terus berada di kawasan tersebut untuk mempertahankan serta melaksanakan hak kedaulatan Manila terhadap wilayah yang dianggap miliknya.

Terumbu Scarborough yang menjad lokasi rantaian terumbu dan batu karang berbentuk segi tiga menjadi titik panas antara kedua-dua negara sejak China merampasnya daripada Filipina pada 2012.

Setakat ini tidak jelas sama ada terdapat kecederaan dalam insiden itu.

Tarriela berkata, kru kapal China tidak pernah memberi respon terhadap tawaran bantuan daripada kapal Filipina.

“Sebelum perlanggaran berlaku, BRP Suluan dilaporkan disasarkan dengan meriam air oleh pihak China namun berjaya mengelaknya,” jelas Tarriela.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN