'Jika Hamas tidak menyerah kalah, pintu neraka akan terbuka' - Utusan Malaysia

‘Jika Hamas tidak menyerah kalah, pintu neraka akan terbuka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketegangan di Semenanjung Gaza terus memuncak apabila Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengeluarkan amaran keras ‘pintu neraka akan terbuka’ sekiranya Hamas enggan menyerah diri dan membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.

Kenyataan itu dibuat menjelang operasi ketenteraan besar-besaran yang dirancang bagi mengambil alih sepenuhnya Gaza City, yang disifatkan sebagai pusat pemerintahan dan operasi ketenteraan utama Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan mobilisasi sekitar 60,000 anggota simpanan untuk menyokong serangan itu, dengan sasaran menghancurkan sepenuhnya keupayaan Hamas di bandar berkenaan.

“Gaza, ibu kota Hamas, akan menjadi seperti Rafah dan Beit Hanoun,” tegas Katz, merujuk kepada dua bandar di Gaza yang sebelum ini telah musnah dalam serangan terdahulu.

Israel menetapkan beberapa syarat utama bagi menghentikan serangan, termasuk pelucutan senjata Hamas dan pembebasan kesemua tebusan.

Hamas sebelum ini telah menerima satu cadangan gencatan senjata yang difasilitasi oleh Mesir dan Qatar, melibatkan pembebasan tebusan secara berperingkat dan pengunduran tentera Israel dari kawasan tertentu, namun Israel masih belum memberikan maklum balas rasmi.

Sementara itu, penduduk Gaza City kini berdepan pilihan getir, sama ada terus tinggal di rumah dengan risiko terbunuh akibat serangan, atau berpindah ke selatan yang juga tidak menjamin keselamatan.

Serangan udara dan artileri dilaporkan semakin rancak, terutama di kawasan Zeitoun, Sabra dan Tuffah, memaksa ribuan penduduk melarikan diri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai agensi kemanusiaan antarabangsa memberi amaran bahawa serangan penuh ke atas Gaza City bakal mencetuskan bencana kemanusiaan besar-besaran.

Hospital-hospital di selatan Gaza dilaporkan kini beroperasi melebihi kapasiti, kekurangan bekalan ubat, dan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Di Israel, tekanan terhadap kerajaan turut memuncak apabila keluarga tebusan mengadakan protes di Tel Aviv, menuntut agar keselamatan tebusan diberi keutamaan berbanding operasi ketenteraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN