Israel kerah 60,000 tentera simpanan untuk tawan Gaza City - Utusan Malaysia

Israel kerah 60,000 tentera simpanan untuk tawan Gaza City

KENDERAAN tempur infantri Israel digerakkan ke sempadan Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz meluluskan rancangan tentera untuk menawan Gaza City serta membenarkan pengambilan semula sehingga 60,000 anggota tentera simpanan, menurut kenyataan rasmi kementeriannya pada Rabu.

Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan mengesahkan kepada AFP bahawa keputusan itu dibuat sebagai persediaan menghadapi fasa baharu konflik yang dijangka lebih sengit, susulan ketegangan yang terus meningkat dan operasi ketenteraan berterusan di wilayah tersebut.

Langkah itu dilihat menambah tekanan terhadap Hamas, ketika para pengantara antarabangsa masih menunggu maklum balas rasmi Israel terhadap cadangan gencatan senjata terbaru yang sedang dirundingkan.

Dalam kenyataannya, kumpulan Hamas mengecam tindakan Israel itu, menyifatkannya sebagai satu “penghinaan terang-terangan” terhadap usaha rundingan damai serta perjanjian pembebasan tebusan yang sedang digerakkan.

“Pengumuman operasi terhadap Gaza City dan hampir sejuta penduduk serta pelarian di dalamnya jelas menunjukkan sikap tidak peduli terhadap usaha para pengantara,” kata Hamas.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai tentera Israel memaklumkan 50,000 anggota simpanan akan dipanggil semula bermula September.

Pasukan utama yang akan digerakkan ke Gaza terdiri daripada tentera aktif yang kini sudah mula menjalankan operasi di kawasan kejiranan seperti Zeitoun dan Jabalia, sebagai sebahagian daripada fasa awal pelan penawanan.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Kecemasan Gaza, Mustafa Qazzaat, berkata ramai penduduk di kawasan timur bandar kini bersiap sedia melarikan diri berikutan peningkatan serangan udara dan darat.

Anis Daloul, 64, seorang penduduk di Zeitoun, berkata kebanyakan bangunan di kawasan tersebut telah musnah, menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Pada awal Julai, Kabinet Keselamatan Israel yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah meluluskan rancangan bagi menawan sepenuhnya Gaza City.

Walaupun belum ada mesyuarat kabinet keselamatan dipanggil untuk membincangkan cadangan gencatan senjata terkini, pejabat Netanyahu memaklumkan beliau mengarahkan rancangan untuk menewaskan Hamas dan menawan kubu terakhir mereka dipercepatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN