Israel dilanda gelombang haba luar biasa, suhu cecah 50 darjah Celsius - Utusan Malaysia

Israel dilanda gelombang haba luar biasa, suhu cecah 50 darjah Celsius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel dilanda gelombang haba luar biasa minggu ini apabila suhu mencecah hampir 50 darjah Celsius di beberapa kawasan, sekali gus memecahkan beberapa rekod cuaca serta menyebabkan dua kematian akibat strok haba.

Data Jabatan Meteorologi Israel (IMS) merekodkan suhu setinggi 48.8 darjah Celsius di bandar peranginan Eilat pada Rabu, dengan seorang lelaki berusia 70 tahun dilaporkan rebah sebelum meninggal dunia manakala seorang lagi mangsa, lelaki berusia 60-an, turut maut akibat strok haba di bandar Rishon Lezion, menurut pasukan perubatan Magen David Adom.

Di Lembah Jordan, suhu di Kibbutz Gilgal mencatatkan 49.7 darjah Celsius tertinggi di negara itu dan sekali gus memecahkan rekod lama iaitu 49.3 darjah Celsius manakala di utara, kawasan Kfar Blum di Galilee turut merekodkan 46.8 darjah Celsius, manakala di Baitulmaqdis suhu mencecah 40.8 darjah Celsius.

IMS memaklumkan beberapa lokasi lain juga mencatat rekod baharu termasuk Safed (41.4 darjah Celsius), Ayelet Hashachar, Ma’aleh Adumim serta bandar Arad di selatan dan lebih membimbangkan, suhu pada waktu malam di beberapa kawasan kekal tinggi dan mencatat rekod baharu.

Di stesen cuaca Sodom berhampiran Laut Mati, suhu minimum hanya turun kepada 36.6 darjah Celsius, iaitu paling panas pernah direkodkan.

Kesan gelombang haba turut dirasai dalam sektor tenaga apabila penggunaan elektrik mencecah 17,287 megawatt pada jam 3.15 petang Rabu tertinggi dalam sejarah dan memecahkan rekod empat hari berturut-turut.

“Gelombang haba ekstrem bukan lagi kejadian luar biasa, sebaliknya realiti yang akan berulang pada masa depan,” kata Pengarah Noga, Shiki Fisher, iaitu pengendali sistem tenaga bebas Israel.

Bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan, pihak berkuasa mengumumkan larangan masuk ke semua denai pendakian di taman negara dan rizab alam semula jadi sehingga Sabtu, selain larangan menyalakan unggun api di kawasan terbuka sehingga hujung bulan ini.

IMS mengingatkan orang ramai agar mengelakkan aktiviti luar ketika waktu puncak, banyak minum air, memakai pakaian berwarna cerah serta menghadkan pendedahan langsung kepada matahari.

Israel dikenali sebagai ‘hotspot iklim’ dengan kadar peningkatan suhu lebih cepat berbanding purata global di mana pada tahun 2020, negara itu mencatatkan hari terpanas dalam sejarah moden, namun rekod mutlak dicatatkan pada 1942 di Tirat Zvi, Lembah Beit She’an, iaitu 54 darjah Celsius. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN