Indonesia beli 48 jet pejuang KAAN dari Turkiye

Indonesia beli 48 jet pejuang KAAN dari Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia menandatangani kontrak untuk membeli 48 jet pejuang KAAN buatan Türkiye, menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan Indonesia.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan negara itu untuk memodenkan aset ketenteraan yang semakin usang.

Jurucakap kementerian, Frega Wenas Inkriwang berkata, kontrak pelaksanaan tersebut ditandatangani pada Sabtu lalu di Istanbul sempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF).

Bagaimanapun, butiran mengenai nilai kontrak dan tarikh penghantaran belum didedahkan.

Jet KAAN merupakan pesawat tempur nasional pertama Türkiye dan melakukan penerbangan sulungnya pada Februari tahun lalu.

Namun, pengeluaran bersiri dijangka hanya akan bermula pada tahun 2028. Jet generasi kelima ini akan dikuasakan oleh dua enjin General Electric F-110 iaitu enjin yang sama digunakan dalam pesawat F-16.

Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoedin, turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Frega menambah, kontrak ini menegaskan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh pembangunan teknologi bersama serta memperluas keupayaan industri pertahanan Indonesia.

Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Indonesia untuk mengukuhkan kekuatan udara.

Sebelum ini, pada 2022, Jakarta telah menempah 42 jet Rafale buatan Perancis bernilai AS$8.1 bilion (RM34.46 bilion).

Negara itu juga sedang menimbang untuk memperoleh jet pejuang J-10 dari China dan meneruskan rundingan bagi pembelian F-15EX buatan Amerika Syarikat (AS).

Dalam perkembangan berkaitan, Indonesia turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan limbungan TAIS Türkiye untuk membeli dua kapal frigat kelas Milgem Istif semasa pameran pertahanan di Istanbul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN