KAHERAH: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas bersetuju dengan cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang dibentangkan oleh Mesir dan Qatar, dengan sokongan Amerika Syarikat (AS).
Perjanjian ini akan menyaksikan separuh daripada tebusan Israel dibebaskan oleh Hamas dengan sebagai balasan, Israel akan membebaskan sejumlah tahanan Palestin dan serangan ketenteraan dihentikan sepenuhnya selama dua bulan.
Seorang pegawai kanan Hamas, Basem Naim, mengesahkan persetujuan itu dalam media sosial, dan menyatakan faksi-faksi Palestin lain turut bersetuju.
Walaupun belum ada kenyataan rasmi, seorang pegawai Israel mengesahkan mereka sudah menerima dokumen cadangan itu.
Ia dikatakan mirip pelan terdahulu yang pernah disokong oleh Israel dan dicadangkan oleh utusan khas AS, Steve Witkoff.
Dalam masa sama, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu masih belum menyatakan pendirian jelas, walaupun tekanan semakin meningkat dari dalam negaranya sendiri.
Rakyat Israel semakin lantang mendesak kerajaan supaya mencapai perjanjian damai. Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya Ahad lalu menuntut pembebasan 50 tebusan yang masih hidup dan penamatan perang di Gaza.
Sementara itu, suasana di Gaza City semakin tegang. Penduduk yang sudah letih dan trauma mula meninggalkan rumah mereka kerana khuatir akan serangan darat besar-besaran oleh tentera Israel, selepas beberapa kereta kebal kelihatan memasuki kawasan pinggir bandar.










