JAKARTA: Langkah Indonesia mengerahkan sistem peluru berpandu balistik jarak dekat buatan Turkiye secara ‘senyap’ di Kalimantan Timur dilihat sebagai gerakan penting yang mengubah secara ketara keseimbangan kuasa di Asia Tenggara.
Menurut penganalisis pertahanan, penempatan peluru berpandu balistik pertama di rantau ini bakal mendorong perlumbaan dalam kalangan negara ASEAN termasuk Malaysia untuk mula menaik taraf aset ketenteraan masing-masing.
Daripada sebuah rantau yang sebelum ini tidak pernah memiliki keupayaan operasi peluru berpandu balistik moden, Indonesia kini mempunyai pilihan serangan pantas dan tepat yang berpotensi mengubah dinamika pencegahan serantau.
Menurut para pemerhati, langkah ini berkait rapat dengan pemindahan ibu negara dari Jakarta ke Nusantara (IKN) dan berlaku di tengah-tengah ketegangan yang kian memuncak di Laut China Selatan.
Ia menandakan peralihan terancang oleh Indonesia daripada pendirian yang kebanyakannya bersifat defensif kepada sikap pencegahan yang lebih tangkas dan proaktif.
Dari sudut geopolitik, ia menyerlahkan peralihan Jakarta daripada kebergantungan tradisional dengan Barat kepada hubungan yang lebih pelbagai dengan rakan seperti Turkiye, sekali gus mengukuhkan pengaruhnya dalam dinamik kuasa global.
Sistem peluru berpandu KHAN, platform dengan jarak 280 kilometer (km) yang dibangunkan oleh pengeluar senjata Roketsan itu pertama kali dikesan oleh peminat ketenteraan di Pangkalan Raipur A Yonarmed 18 milik Tentera Darat Indonesia di Tenggarong, Kalimantan Timur.
Gambar peluru berpandu KHAN yang dihasilkan oleh Roketsan itu muncul di halaman Facebook Sahabat Keris pada 1 Ogos dan dilaporkan secara meluas oleh blog-blog pertahanan serta portal berita Indonesia, Kompas.
Menurut Timbalan Pengurus Besar Roketsan, Murat Kurtulus, Indonesia membuat tempahan peluru berpandu KHAN pada November 2022 dan menjadi pasukan ketenteraan pertama di luar
Turkiye yang memiliki peluru berpandu ini dalam inventori mereka.
Implikasi strategik dua mata
Penganalisis pertahanan utama berpangkalan di Singapura, Ridzwan Rahmat menjelaskan, sehingga kini, negara-negara Asia Tenggara secara umum mengelakkan daripada memperoleh sistem balistik taktikal kerana sifatnya yang secara asas untuk menyerang berbanding platform yang benar-benar bersifat pertahanan.
Namun, norma itu mungkin berubah.

“Dengan menjadi negara Asia Tenggara pertama mempunyai keupayaan yang lazimnya dimiliki kuasa-kuasa ketenteraan besar di luar rantau ini, ia menimbulkan potensi tercetusnya perlumbaan senjata.
“Langkah Indonesia dijangka mendorong negara-negara lain dalam ASEAN untuk menilai semula keupayaan peluru berpandu dan pertahanan udara masing-masing,” katanya.
Di rantau ini, Vietnam diketahui memiliki peluru berpandu balistik kelas Scud era Soviet serta derivatif Korea Utara seperti Hwasong-6 dengan jarak antara 300 hingga 500 km, namun sistem itu sudah lama dan bukannya pemerolehan baharu.
Myanmar pula dipercayai memiliki peluru berpandu Hwasong-5 buatan Korea Utara dan BP-12A buatan China, berkemungkinan melalui platform SY-400 namun, tiada pengesahan rasmi tentang penggunaannya secara operasi yang tetap.
Sementara itu, Pakar Institut Kajian Pertahanan dan Strategik Indonesia (Lesperssi) yang berpangkalan di Jakarta, Beni Sukadis berkata, langkah tersebut membawa implikasi strategik ‘dua mata’.
“Walaupun ia memperkukuh kedudukan pertahanan Indonesia, ia juga boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara jiran dan kuasa besar yang mempunyai kepentingan di rantau ini sebagai satu bentuk ketegangan ketenteraan,” katanya.
Beni berkata, walaupun pengerahan KHAN adalah sah dalam kerangka pertahanan negara Indonesia, pihak kerajaan perlu terus mengutamakan ketelusan dan diplomasi pertahanan bagi mengelakkan tercetusnya persepsi ancaman serta membantu mengekalkan kestabilan serantau.
Namun, Pakar Ketenteraan Institut Kajian Keselamatan dan Strategik (ISESS) Jakarta, Khairul Fahmi menegaskan, adalah penting untuk memahami perkembangan ini berakar daripada sikap Indonesia yang aktif dan defensif, bukannya sebagai alat perluasan atau provokasi.
“Dengan kata lain, pengukuhan ini ialah tindak balas yang dikira dengan teliti terhadap perubahan keselamatan serantau dan global,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui langkah ini boleh menjadi pemangkin psikologi bagi negara tertentu di rantau ini untuk mempertimbangkan pilihan yang serupa.
Sebagai contoh, Vietnam atau Thailand mungkin mula menilai keperluan serta implikasi membangunkan keupayaan peluru berpandu yang setanding, khususnya jika ketegangan di Laut China Selatan meningkat atau persaingan serantau bertambah sengit.
Khairul berkata, reaksi sedemikian dijangka berlaku dalam jangka sederhana iaitu tiga hingga tujuh tahun kerana tidak semua negara ASEAN memiliki kemampuan kewangan, asas industri pertahanan atau justifikasi strategi untuk pengambilan pantas.
Mengenai mengapa Indonesia setakat ini tidak mendedahkan jumlah unit peluru berpandu KHAN yang dibeli, Khairul berkata, ia difahami kerana maklumat sedemikian lazimnya bersifat terhad atau sulit.
“Pendedahan penuh tentang kuantiti, spesifikasi dan lokasi pengerahan boleh mendedahkan kerentanan dan melemahkan kepentingan pertahanan negara,” katanya.
Pengerahan peluru berpandu KHAN berhampiran ibu negara baharu Indonesia juga signifikan, kerana kedudukannya yang selamat daripada serangan langsung, posisi strategik menghadap laluan laut utama di utara, serta peranannya sebagai tapak ibu negara baharu.
“Ia menghantar isyarat jelas Indonesia serius membangunkan seni bina pertahanan yang kukuh untuk melindungi pusat pentadbiran baharu daripada pelbagai senario ancaman termasuk kemungkinan serangan peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi,” jelasnya.










