WASHINGTON: Imej luar biasa dari dalam mata Taufan Erin mencetuskan kekaguman di seluruh dunia apabila pasukan Hurricane Hunters berjaya merakam fenomena unik yang dikenali sebagai ‘stadium effect’ iaitu formasi awan silinder yang menjulang tinggi dan menyerupai dinding arena gergasi tergantung di langit.
Rakaman berisiko tinggi ini diperoleh oleh Skuadron Peninjau Cuaca ke-53 Tentera Udara Amerika Syarikat, yang terbang menembusi pusat taufan bagi mengumpulkan data penting untuk Pusat Taufan Kebangsaan (NHC). Dalam rakaman tersebut, mata taufan kelihatan luar biasa tenang dan cerah, membentuk kontras dramatik dengan ribut ganas yang mengelilinginya.
Taufan Erin mencatat sejarah apabila ia menguat secara mendadak daripada Kategori 1 kepada Kategori 5 dalam tempoh hanya 24 jam, dengan kelajuan angin mencecah 257 kilometer sejam.
Perkembangan pantas ini menjadikannya antara taufan paling cepat menguat dalam sejarah Lautan Atlantik sebelum 1 September.
Walaupun Erin kini menurun ke Kategori Empat, ia masih membawa ombak besar dan arus deras ke perairan Caribbean serta pantai timur AS.
Pusat taufan dikesan kira-kira 235 kilometer timur laut San Juan, Puerto Rico, dan dijangka tidak akan melanda daratan secara langsung.
Pakar meteorologi turut memberi amaran bahawa musim taufan Atlantik tahun ini berpotensi menjadi antara yang paling aktif dan berbahaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.










