Enam tentera Syria terbunuh dalam serangan dron Israel di Damsyik

Enam tentera Syria terbunuh dalam serangan dron Israel di Damsyik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Enam anggota tentera Syria terbunuh dalam serangan dron yang dilancarkan Israel di kawasan pinggir bandar Damsyik awal Rabu, menurut laporan televisyen kerajaan El Ekhbariya.

Serangan itu berlaku ketika Syria dan Israel sedang menjalankan rundingan yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) bagi meredakan ketegangan di selatan Syria.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak tentera Israel berhubung insiden tersebut.

Damsyik dilaporkan sedang berusaha mendapatkan perjanjian keselamatan yang berpotensi membuka laluan kepada rundingan politik lebih luas.

Awal minggu ini, Syria mendakwa Israel menghantar 60 askar masuk ke wilayahnya berhampiran Gunung Hermon, sekali gus melanggar kedaulatan negara itu.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan operasi itu berlaku di Beit Jinn, kawasan berhampiran sempadan Lubnan dan Gunung Hermon sebaliknya menyifatkan ia sekadar operasi rutin di selatan Syria.

Kementerian Luar Syria pada Selasa mengecam serangan Israel, menyifatkannya sebagai ancaman langsung kepada keamanan serta keselamatan serantau.

Sejak kejatuhan Bashar al-Assad pada Disember lalu, Israel berulang kali melancarkan operasi ketenteraan di Syria atas alasan keselamatan, termasuk melindungi komuniti minoriti Druze di selatan negara itu.

Pada Januari, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menegaskan pasukan tenteranya akan kekal berkubu di puncak Gunung Hermon untuk tempoh yang tidak ditentukan.

Beberapa negara Arab turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Israel yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan perjanjian pemisahan tentera 1974. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN