NEW YORK: Suasana pilu menyelubungi sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) apabila Duta Algeria ke PBB, Amar Bendjama, tidak dapat menahan sebak ketika membaca surat perpisahan wartawan Palestin, Mariam Abu Daqqa, kepada anak lelakinya sebelum beliau terbunuh dalam serangan udara rejim Israel di Hospital Nasser, Gaza, awal minggu ini.
Menurut laporan Anadolu, Mariam, 33, antara lima wartawan yang maut dalam serangan berkenaan yang turut meragut nyawa 20 penduduk Palestin.
Dalam catatan di media sosial beberapa hari sebelum kematiannya, Mariam menulis pesanan terakhir kepada anaknya, Gaith, 13 tahun, yang dianggap Bendjama lebih jujur daripada mana-mana kenyataan rasmi.
“Kamulah jantung dan jiwa ibu… apabila ibu meninggal, doakan ibu, jangan menangis. Apabila kamu dewasa, berkahwin, dan dikurniakan anak perempuan, namakan dia Mariam, sempena nama ibu,” kata surat berkenaan yang dibaca Bendjama dengan suara tersekat-sekat menahan tangis.
Kata Bendjama, Mariam tidak bersenjata selain kamera dan hanya dilindungi jaket media, sambil menuduh Israel sengaja menyasarkan wartawan bagi menutup liputan media tentang pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran yang sedang berlaku di Gaza.
“Seramai 245 wartawan telah terbunuh. Pada penghujung Ogos sahaja, enam lagi dibunuh secara sengaja oleh tentera Zionis. Mereka tidak membawa apa-apa selain kata-kata dan gambar. Tetapi suara mereka juga mahu dibungkam,” ujarnya.
Bendjama turut mengingatkan UNSC mengenai kes Yazan Abu Foul, kanak-kanak berusia dua tahun yang tubuhnya kurus kering akibat kebuluran, sambil menggesa ahli majlis membayangkan perasaan seorang bapa melihat anaknya mereput tanpa bantuan.
Beliau menggambarkan Gaza sebagai ‘neraka hidup’ dan mengkritik UNSC kerana sekadar menjadi pentas ratapan tanpa sebarang tindakan tegas.
Sejak Oktober 2023, lebih 63,000 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan ketenteraan rejim Zionis yang memusnahkan hampir keseluruhan wilayah Gaza, yang kini berdepan krisis kebuluran.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Gaza. – AGENSI










