BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengkritik penunjuk perasaan yang menggesa penghentian perang di Gaza dengan mendakwa tindakan tersebut hanya akan menguntungkan Hamas dan melambatkan pembebasan tebusan.
Dalam satu mesyuarat kabinet, Netanyahu berkata, “Mereka yang menyeru agar perang dihentikan tanpa kekalahan Hamas bukan sahaja menguatkan kedudukan Hamas, tetapi juga melambatkan pembebasan tebusan kita dan membuka kemungkinan tragedi 7 Oktober berulang.” Kenyataan itu merujuk kepada serangan Hamas pada 2023 yang mencetuskan konflik semasa.
Netanyahu menegaskan kerajaan tetap bertekad meneruskan operasi ketenteraan, termasuk merampas Bandaraya Gaza – antara kawasan terakhir yang masih di luar kawalan Israel.
Namun, rancangan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Israel, khususnya keluarga mangsa tebusan, yang bimbang serangan lanjut boleh mengancam nyawa orang tersayang yang masih ditahan.
Pada malam Ahad, puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv dalam satu demonstrasi besar-besaran yang menuntut penghentian perang dan pembebasan tebusan. Ia merupakan antara protes terbesar sejak konflik bermula hampir dua tahun lalu.
Protes tersebut adalah kemuncak kepada hari penuh demonstrasi dan mogok umum di seluruh negara, yang bertujuan menekan kerajaan agar menghentikan kempen ketenteraan di Gaza.
Menurut Forum Keluarga Tebusan, yang mewakili keluarga mangsa, masa semakin suntuk. “Tiada masa boleh dibazir – bukan untuk yang masih hidup dalam neraka, dan bukan untuk yang mungkin telah terkorban di bawah runtuhan Gaza,” kata kenyataan mereka.
Ketika ini, dianggarkan 50 tebusan masih ditahan di Gaza, dan pihak berkuasa Israel percaya sekitar 20 daripada mereka masih hidup.
Rundingan gencatan senjata yang dijangka dapat membawa kepada pembebasan lebih ramai tebusan gagal pada Julai lalu. Hamas menegaskan bahawa mereka hanya akan melepaskan baki tebusan sekiranya Israel menghentikan perang. Namun, Netanyahu kekal dengan pendiriannya bahawa Hamas tidak boleh terus berkuasa.
Keputusan kerajaan Israel untuk terus mara ke Gaza turut mengundang kecaman, termasuk daripada sekutu rapatnya di Eropah. Hamas pula menyifatkan tindakan itu sebagai jenayah dan memberi amaran bahawa ia akan memaksa ratusan ribu penduduk Gaza berpindah sekali lagi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 61,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak konflik bermula. Dalam tempoh 24 jam yang lalu sahaja, sekurang-kurangnya 29 kematian dilaporkan.
Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, yang hadir dalam perhimpunan di Tel Aviv, menyuarakan sokongannya terhadap para penunjuk perasaan.
“Satu-satunya perkara yang menguatkan negara ini ialah semangat luar biasa rakyat yang keluar hari ini demi solidariti Israel,” katanya menerusi platform X.










