Data sulit tentera Israel dedah 83 peratus kematian di Gaza libat orang awam - Utusan Malaysia

Data sulit tentera Israel dedah 83 peratus kematian di Gaza libat orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Lima daripada enam penduduk Palestin yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza merupakan orang awam, menurut penyelidikan berdasarkan data dalaman tentera Israel sendiri, lapor Anadolu.

Siasatan bersama oleh The Guardian, majalah Israel-Palestin +972 Magazine dan portal berbahasa Ibrani Local Call mendedahkan, pangkalan data sulit tentera Israel menyenaraikan kira-kira 8,900 pejuang yang disahkan atau dianggap terbunuh sehingga Mei lalu.

Pada ketika itu, jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 mencecah 53,000 orang.

Data tersebut menunjukkan hanya 17 peratus daripada korban dikenal pasti sebagai pejuang, sekali gus menggambarkan 83 pperatus daripadanya adalah orang awam.

Siasatan itu menyifatkan nisbah orang awam berbanding kombatan dalam konflik Gaza sebagai amat tinggi bagi peperangan moden, malah lebih tinggi berbanding beberapa konflik berdarah lain seperti perang saudara Syria dan Sudan.

“Peratusan orang awam yang terbunuh itu terlalu tinggi, apatah lagi ia berlanjutan begitu lama,” kata Therese Pettersson daripada Uppsala Conflict Data Program (UCDP) yang menjejak korban awam di seluruh dunia.

Menurutnya, nisbah sebegitu jarang berlaku secara keseluruhan, kecuali dalam kes tertentu seperti Srebrenica, pembunuhan beramai-ramai di Rwanda dan pengepungan Mariupol oleh Russia pada 2022.

Seorang sumber perisikan yang mengikuti operasi darat Israel pula mendedahkan, ramai mangsa awam ‘dipromosikan’ sebagai pengganas selepas kematian mereka.

“Kalau saya percaya bulat-bulat kepada laporan tentera Israel, saya akan fikir kita sudah bunuh 200 peratus anggota Hamas di kawasan itu,” katanya sinis.

Sementara itu, bekas jeneral Itzhak Brik yang pernah menasihati Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada awal peperangan tetapi kini lantang mengkritik berkata, tentera sendiri menyedari angka rasmi mengenai korban Hamas sering dilebih-lebihkan.

“Tiada langsung kaitan antara angka yang diumumkan dengan realiti sebenar. Semuanya hanya satu penipuan besar,” tegasnya.

Sejak Oktober 2023, lebih 62,100 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh akibat operasi ketenteraan Israel di Gaza yang kini turut berdepan krisis kebuluran akibat kemusnahan besar-besaran. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN