HONG KONG: Syarikat induk kepada aplikasi video pendek TikTok, ByteDance dijangka melancarkan program pembelian semula saham pekerja tyang menetapkan penilaian syarikat teknologi gergasi China itu melebihi AS$330 bilion (RM1.39 trilion).
ByteDance merancang menawarkan harga AS$200.41 (RM846.97) bagi setiap saham kepada pekerja dalam program pembelian semula tersebut, peningkatan sebanyak 5.5 peratus daripada harga AS$189.90 (RM802.60) yang ditawarkan kira-kira enam bulan lalu.
ByteDance ketika itu meletakkan penilaian syarikat pada sekitar AS$315 bilion (RM1.331 trilion).
Program itu dijangka dilancarkan pada musim luruh ini.
Penilaian baharu yang lebih tinggi ini hadir ketika ByteDance terus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat media sosial terbesar dunia dari segi hasil dengan pendapatan suku kedua meningkat sebanyak 25 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut dua daripada sumber tersebut.
Hasil tersebut mencecah kira-kira AS$48 bilion (RM202.86) bagi suku kedua, kebanyakannya disumbang oleh pasaran China walaupun syarikat masih berdepan tekanan politik berterusan untuk melepaskan pegangan dalam operasinya di Amerika Syarikat (AS).
ByteDance setakat ini belum memberikan sebarang komen rasmi.
Pada suku pertama 2025, pendapatan ByteDance meningkat melebihi AS$43 (RM181.74 bilion) mengatasi Meta iaitu syarikat induk kepada Facebook dan Instagram yang mencatatkan AS$42.3 bilion (RM178.8 bilion) dalam tempoh yang sama, menjadikan ByteDance syarikat media sosial nombor satu di dunia dari segi jualan.
Kedua-dua syarikat mengekalkan pertumbuhan hasil melebihi 20 peratus pada suku kedua, didorong oleh permintaan iklan yang kukuh.
Program pembelian semula saham dwitahunan ByteDance memberi peluang kepada pekerja untuk mencairkan sebahagian pegangan mereka dalam syarikat yang belum disenaraikan itu, mencerminkan kedudukan kewangan yang semakin kukuh hasil pertumbuhan dalam pasaran domestik dan antarabangsa. -AGENSI










