JAKARTA: Indonesia dikejutkan dengan insiden tragis membabitkan seorang anggota tentera muda, Prada Lucky Chepril Saputra Namo, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul oleh kira-kira 20 orang seniornya di kem tentera di Nusa Tenggara Timur (NTT).
Mangsa yang baru dua bulan berkhidmat bersama Batalion TP 834/WM Nagekeo, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Aeramo pada Rabu lalu, selepas empat hari menerima rawatan intensif akibat kecederaan parah.
Menurut kakak mangsa, Lusi Namo, adiknya menunjukkan kesan lebam dan kecederaan fizikal yang jelas, termasuk kesan tapak kasut di perut dan kesan lebam di seluruh badan. Malah, doktor mengesahkan buah pinggang dan paru-paru mangsa hancur, dan dia memerlukan tiga beg darah untuk rawatan kecemasan.
“Sebelum koma, adik saya sempat membuat panggilan video. Dia ada cerita pernah dipukul walaupun sedang sakit,” kata Lusi.
Pihak hospital turut mengesahkan kewujudan kesan kecederaan yang ketara, namun enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar.
Kematian Prada Lucky mencetuskan kemarahan dalam kalangan keluarga dan masyarakat umum. Bapanya, yang juga anggota tentera, tidak dapat menahan emosi semasa pengebumian anaknya dan menuntut keadilan segera:
“Kami sanggup terima jika dia gugur dalam tugas, tapi bukan begini. Pelaku mesti dihukum,” kata wakil keluarga, Otniel, yang turut mendesak agar TNI menyiasat kes ini secara telus.
Insiden ini tular di media sosial selepas seorang individu, yang mengaku kekasih kepada salah seorang anggota tentera terlibat, mendedahkan bahawa beliau pernah melihat gambar mangsa dalam keadaan berlumuran darah, dihantar melalui mesej yang hanya boleh dilihat sekali.
Setakat ini, empat anggota tentera telah ditahan, manakala lebih 20 individu lain disoal siasat oleh pihak polis tentera Indonesia. Kes ini kini berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk siasatan lanjut.
Upacara pengebumian mendiang berlangsung pada Sabtu lalu di Asten, Kota Kupang, dengan istiadat penuh ketenteraan.









