OSLO: Marius Borg Hoiby, anak kepada Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, kini berdepan 32 pertuduhan jenayah serius, termasuk empat tuduhan rogol, keganasan rumah tangga dan merakam bahagian sulit wanita tanpa izin.
Menurut kenyataan rasmi pendakwa raya Norway, kes melibatkan Hoiby, 28, bakal menjadi antara perbicaraan paling berprofil tinggi dalam sejarah kehakiman negara itu dan telah menarik perhatian antarabangsa.
Daripada 32 pertuduhan yang dikemukakan satu pertuduhan melibatkan rogol dengan hubungan seksual, dan tiga lagi melibatkan rogol tanpa hubungan seksual, termasuk dakwaan beberapa insiden dirakam menggunakan telefon bimbit.
Hoiby turut didakwa atas keganasan terhadap bekas pasangan, melanggar perintah larangan, gangguan, vandalisme, serta merakam secara sulit bahagian tubuh wanita tanpa kebenaran.
Hoiby, anak hasil hubungan Mette-Marit sebelum berkahwin dengan Putera Mahkota Haakon, ditahan selama seminggu pada November 2024 semasa siasatan dijalankan.
Dalam kenyataan awam selepas penahanan, beliau mengakui menyebabkan kecederaan fizikal kepada seorang wanita ketika berada di bawah pengaruh alkohol dan kokain, serta merosakkan harta benda mangsa.
Namun begitu, beliau menafikan tuduhan rogol dan keganasan rumah tangga yang dikemukakan terhadapnya.
Pihak Istana Diraja Norway menyatakan bahawa mereka tidak akan campur tangan dalam proses kehakiman, dan menegaskan status sebagai ahli keluarga diraja tidak boleh dijadikan pengaruh dalam sistem keadilan.
Peguam Hoiby turut mengesahkan anak guamnya bersedia untuk mengaku bersalah terhadap beberapa pertuduhan yang kurang serius, namun akan melawan pertuduhan rogol dan penderaan yang berat itu di mahkamah.
Jika disabitkan kesalahan bagi pertuduhan paling berat, Hoiby boleh dikenakan hukuman maksimum 10 tahun penjara. Perbicaraan penuh dijangka bermula awal tahun 2026.










