150 orang hilang banjir kilat di Pakistan

150 masih hilang banjir kilat di Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHAWAR: Jumlah korban akibat banjir kilat di Pakistan meningkat kepada 277 orang apabila penduduk terus mencari mayat ahli keluarga mereka di kawasan pergunungan yang terjejas.

Tragedi yang bermula hujung minggu lalu ini turut menyebabkan lebih 150 orang hilang di daerah Buner, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Fenomena hujan lebat luar biasa yang dikaitkan dengan perubahan iklim menjadikan kawasan utara Pakistan yang berbukit curam semakin terdedah kepada bencana mendadak.

Penduduk tempatan melaporkan tiada amaran awal diberikan sebelum banjir melanda. Di kawasan terpencil, amaran kecemasan lazimnya disampaikan melalui pembesar suara masjid, namun kali ini ia tidak sempat dilakukan.

Pegawai kerajaan menyatakan hujan turun terlalu cepat dan deras untuk sebarang amaran dikeluarkan lebih awal.

Namun, kenyataan kontroversi oleh Ketua Menteri wilayah, Ali Amin Gandapur mencetuskan kemarahan penduduk apabila beliau menyatakan banyak kematian boleh dielakkan jika orang ramai tidak membina rumah di sepanjang sungai dan saliran air.

Pada Isnin, banjir kilat terbaharu melanda kampung Darori di daerah Swabi, meragut 15 lagi nyawa, menurut pegawai tempatan Awais Babar.

Hampir 100 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak diselamatkan dari atas bumbung rumah mereka.

Banjir juga membanjiri jalan-jalan di Kashmir yang ditadbir Pakistan dan kawasan lain di barat laut negara itu.

Pasukan tentera dan udara Pakistan melaksanakan operasi menyelamat dan pembersihan manakala agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggerakkan pasukan membantu komuniti terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN