Universiti Columbia setuju bayar RM844 juta selepas Trump ancam tarik dana - Utusan Malaysia

Universiti Columbia setuju bayar RM844 juta selepas Trump ancam tarik dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Universiti Columbia semalam bersetuju membayar AS$200 juta (RM844 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang antidiskriminasi persekutuan.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengancam menarik balik pembiayaan persekutuan terhadap institusi pengajian tinggi itu.

Melalui persetujuan tersebut, Columbia juga berjanji mematuhi peraturan yang melarang sebarang bentuk pertimbangan kaum dalam proses pengambilan pelajar atau kakitangan, selain beberapa syarat lain yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Universiti Columbia mencapai persetujuan dengan kerajaan AS untuk menyelesaikan pelbagai siasatan agensi persekutuan berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang antidiskriminasi,” menurut kenyataan universiti berkenaan yang turut memaklumkan bayaran akan dibuat dalam tempoh tiga tahun.

Columbia turut bersetuju membayar tambahan AS$21 juta (RM88.6 juta) bagi menyelesaikan siasatan oleh Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Sama Rata Amerika Syarikat (EEOC).

Di bawah perjanjian itu, kebanyakan geran persekutuan yang digantung sejak Mac lalu akan dipulihkan, sekali gus membuka semula akses Columbia kepada geran bernilai berbilion dolar yang sangat diperlukan universiti itu meskipun memiliki endowmen besar.

Kesepakatan ini turut dilihat sebagai satu kemenangan besar buat Trump yang sebelum ini mendakwa universiti-universiti elit telah menjadi pusat penyebaran fahaman kiri didakwanya bertentangan dengan nilai-nilai nasionalisme Amerika.

Universiti Harvard di Massachusetts turut kini menjadi sasaran pentadbiran Trump dan perjanjian Columbia ini dijangka menjadi asas kepada penyelesaian kes-kes lain pada masa depan.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Columbia bersetuju mengekalkan pasukan keselamatan bagi menghalang sebarang demonstrasi di ruang akademik susulan kekecohan protes pro-Palestin tahun lalu yang menyaksikan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa sehingga menyebabkan bangunan universiti diduduki.

Universiti itu juga diwajibkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa persekutuan berhubung sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar visa luar negara yang dikenakan penggantungan atau pengusiran, termasuk maklumat penahanan pelajar bagi kesalahan jenayah seperti menceroboh atau melanggar undang-undang lain.

Columbia sebelum ini menjadi tumpuan apabila timbul dakwaan antisemitisme semasa protes menentang perang Israel di Gaza yang berlangsung di kampusnya, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar Yahudi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN