LONDON: Britain dan 24 sekutu Barat termasuk Australia, Kanada, Perancis dan Itali pada Isnin mendesak agar perang di Gaza mesti dihentikan sekarang sambil menyifatkan penderitaan orang awam telah mencapai tahap yang paling parah.
Menerusi kenyataan bersama, mereka menggesa semua pihak dan masyarakat antarabangsa untuk bersatu dalam usaha bersama bagi menamatkan konflik yang mengerikan itu melalui gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan.
“Keganasan yang berterusan tidak membawa sebarang faedah. Kami mengulangi sokongan penuh terhadap usaha Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir dalam mencapai matlamat ini,” tambah kenyataan itu.
Negara-negara yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Jepun, beberapa negara Kesatuan Eropah, Switzerland dan New Zealand turut menyatakan kesediaan mereka untuk mengambil tindakan lanjut demi menyokong gencatan senjata segera.
Kenyataan itu turut menyifatkan usaha bantuan kemanusiaan yang disokong Israel di Gaza sebagai berbahaya dan menafikan maruah kemanusiaan rakyat Gaza.
“Kami mengecam penyaluran bantuan yang terlalu perlahan serta pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak yang hanya berusaha mendapatkan keperluan asas seperti air dan makanan.
“Tindakan kerajaan Israel menafikan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk awam adalah tidak boleh diterima,” tambah mereka, sambil menggesa Israel mematuhi tanggungjawab di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kenyataan itu turut menuntut agar kerajaan Israel segera menarik balik sekatan terhadap aliran bantuan dan membenarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta NGO kemanusiaan melaksanakan tugas menyelamatkan nyawa mereka dengan selamat dan berkesan.
PBB dalam kenyataan minggu lalu melaporkan bahawa 875 individu telah terbunuh di Gaza ketika cuba mendapatkan makanan melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS dan Israel yang kini menjadi saluran utama pengagihan bantuan di wilayah itu selepas menggantikan agensi-agensi PBB.
Kenyataan bersama itu turut mengecam penahanan berterusan tebusan oleh pejuang Hamas dan menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat sambil menyatakan bahawa satu gencatan senjata yang dirundingkan adalah harapan terbaik untuk membawa mereka pulang.
Dalam masa yang sama, negara-negara yang menandatangani kenyataan itu juga menyuarakan penolakan keras terhadap sebarang langkah yang membawa kepada perubahan wilayah atau demografi di wilayah Palestin yang diduduki.
Mereka menyifatkan rancangan Israel untuk memindahkan rakyat Palestin ke bandar kemanusiaan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.-AGENSI










