TOKYO: Gelombang tsunami melanda Russia dan bahagian utara wilayah Hokkaido di Jepun susulan gempa bumi mega dengan magnitud 8.8 yang melanda luar pesisir Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Russia.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada kedalaman cetek 19.3 kilometer (km) dan berpusat sekitar 126km ke timur-tenggara bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, sebuah bandar pesisir berpenduduk 165,000 orang di Teluk Avacha.
USGS turut menaikkan magnitud gempa daripada 8.0 kepada 8.7 sebelum menukarnya kepada 8.8 selepas semakan lanjut.
Di Russia, pihak berkuasa melaporkan tsunami setinggi antara tiga hingga empat meter yang direkodkan di beberapa kawasan di Kamchatka.
Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov menyifatkan kejadian ini sebagai sangat serius dan yang paling kuat dalam beberapa dekad, sambil memaklumkan sebuah tadika mengalami kerosakan.
Menteri Hal Ehwal Kecemasan wilayah itu, Sergei Lebedev, menggesa penduduk supaya menjauhi pesisir pantai.
Sementara itu, Gabenor Sakhalin, Valery Limarenko, memaklumkan bandar kecil Severo-Kurilsk di selatan Semenanjung Kamchatka turut diarahkan berpindah akibat ancaman tsunami.
Agensi Cuaca Jepun (JMA) turut menaikkan amaran tsunami, dengan jangkaan ombak setinggi sehingga tiga meter akan melanda kawasan pesisir timur Jepun bermula sekitar 10 pagi (waktu tempatan) dengan arahan pemindahan dikeluarkan di beberapa kawasan.
Gelombang tsunami pertama direkodkan di bandar pelabuhan Nemuro, di timur laut Hokkaido, dengan ketinggian kira-kira 30 sentimeter.
Namun, pihak berkuasa memberi amaran gelombang susulan mungkin lebih tinggi dan orang ramai diminta terus berjauhan dari kawasan pantai.
Rakaman daripada penyiar TBS menunjukkan penduduk dan pekerja kilang di Hokkaido berpindah ke kawasan bukit yang menghadap laut sebagai langkah keselamatan.
Sementara itu, Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat (AS) turut mengeluarkan amaran berkenaan ‘ombak tsunami berbahaya’ dalam tempoh tiga jam akan datang di pesisir Russia, Jepun, Alaska dan Hawaii.
Amaran berjaga-jaga tsunami turut dikeluarkan bagi wilayah pulau milik AS, Guam, serta beberapa pulau di Micronesia.
Di Hawaii, pihak berkuasa mengarahkan pemindahan dari beberapa kawasan pesisir pantai.
Jabatan Pengurusan Kecemasan Honolulu memberi amaran menerusi platform X supaya penduduk mengambil tindakan segera selepas gelombang tsunami berbahaya turut dijangka berlaku di wilayah berkenaan.