WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak mahu mempedulikan Akta Ketelusan Fail Epstein dan menganggap rang undang-undang itu bukan keutamaan.
Dalam reaksinya selepas akta tersebut diluluskan Kongres, Trump menegaskan mahu Republikan menumpukan perhatian agenda kemenangan parti dan beberapa perkara lain yang lebih utama.
“Saya tidak kisah bila Senat meluluskan Rang Undang-Undang itu, sama ada malam ini atau dalam masa terdekat, cuma saya tidak mahu Republikan mengalihkan perhatian daripada semua kemenangan yang kita capai,” kata Trump.
Beliau turut menyenaraikan beberapa isu lain yang menjadi fokus partinya, termasuk sempadan tertutup, pemansuhan program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI), menghentikan lapan peperangan, membina semula ketenteraan, memastikan AS dihormati di peringkat antarabangsa dan mewujudkan negara paling berdaya saing di dunia.
Kelmarin, Kongres yang dikuasai Republikan sebulat suara mengundi untuk memaksa Jabatan Kehakiman mendedahkan fail berkaitan mendiang pesalah seks, Epstein.
Ia merupakan keputusan yang sebelum ini ditentang Trump selama beberapa bulan.
Usul itu diluluskan dengan undian 427-1, dua hari selepas Trump secara mengejut menarik balik penentangannya.
Senat kemudian segera meluluskan rang undang-undang itu, yang boleh dihantar kepada Trump untuk ditandatangani seawal Rabu.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih mendakwa, Trump merancang menandatangani rang undang-undang itu sebaik sahaja ia sampai ke mejanya.
Skandal Epstein menjadi duri politik bagi Trump selama berbulan-bulan, terutama kerana beliau sendiri pernah menyebarkan teori konspirasi mengenainya kepada penyokong.
Ramai pengundi Trump percaya pentadbirannya menutup hubungan Epstein dengan tokoh berpengaruh serta menyembunyikan butiran mengenai kematiannya yang diisytiharkan sebagai bunuh diri di sebuah penjara Manhattan pada 2019.
Epstein merupakan seorang ahli kewangan dari New York yang bergaul dengan beberapa individu paling berpengaruh di negara itu.
SOKONGAN AWAM TERJEJAS
Sebelum undian Dewan Perwakilan, kira-kira 24 individu yang didakwa menjadi mangsa penderaan Epstein menyertai tiga wakil Demokrat dan Republikan di luar Capitol AS bagi mendesak pendedahan rekod tersebut.
Selepas undian, mereka berdiri di galeri awam untuk memberi tepukan kepada anggota Kongres, dengan sebahagian menangis dan berpelukan antara satu sama lain.
Walaupun pendiriannya berubah mengenai rang undang-undang itu, Trump tetap marah dengan perhatian yang diberikan terhadap isu Epstein.
Pada Selasa, beliau memanggil seorang wartawan yang bertanya mengenainya di Pejabat Oval sebagai ‘orang yang teruk’ dan mencadangkan supaya lesen rangkaian televisyen tempat dia bertugas ditarik balik.
“Saya tiada kaitan dengan Jeffrey Epstein. Saya menghalaunya dari kelab saya bertahun-tahun dahulu kerana saya fikir dia seorang yang tidak waras,” kata Trump kepada wartawan ketika menerima kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Pertikaian mengenai dokumen Epstein turut menjejaskan tahap sokongan awam terhadap Trump.

Menurut tinjauan Reuters/Ipsos pada Isnin, hanya seorang daripada lima pengundi keseluruhan bersetuju cara beliau menangani isu tersebut.
Dalam kalangan Republikan, hanya 44 peratus percaya Trump menguruskan situasi tersebut dengan baik.
Trump menegaskan tiada kaitan dengan jenayah Epstein dan mula melabelkan isu itu sebagai ‘pembohongan Demokrat’, walaupun beberapa Republikan antara yang paling lantang mendesak supaya rekod siasatan didedahkan.
Wakil Republikan dari Kentucky, Thomas Massie, yang mengetuai usaha memaksa undian menuduh Jabatan Kehakiman di Dewan Perwakilan ‘melindungi pesalah seks dan pedofilia’.
“Bagaimana kita akan tahu jika rang undang-undang ini berjaya? Kita akan tahu apabila ada lelaki, terutama yang kaya, digari dan dibawa ke penjara. Dan sehingga itu, ini masih merupakan satu penyembunyian,” katanya.
DITEKAN TARIK BALIK SOKONGAN
Penentangan Trump terhadap rang undang-undang itu menjejaskan hubungannya dengan seorang penyokong kuatnya di Kongres, Wakil Marjorie Taylor Greene dari Georgia, yang kecewa kerana
Jabatan Kehakiman tidak mendedahkan lebih banyak butiran mengenai Epstein.
Greene berkata, Trump menekannya untuk menarik balik sokongan terhadap resolusi itu dan dituduh sebagai pengkhianat selepas beliau tetap berpendirian teguh.
Beliau kemudian menyertai Massie dan Wakil Demokrat Ro Khanna di Capitol sebelum mengundi menyokong resolusi tersebut.
“Pengkhianat ialah rakyat Amerika yang berkhidmat untuk negara asing dan kepentingan diri sendiri. Patriot adalah rakyat Amerika yang berkhidmat untuk AS, termasuk rakyatnya seperti wanita-wanita di belakang saya,” kata Greene.
Epstein mengaku bersalah bagi tuduhan pelacuran di peringkat negeri Florida pada 2008 dan menjalani 13 bulan penjara.











