SHAH ALAM: Tiga fasa konflik menjadi cabaran kepada Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 dalam melaksanakan operasi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Komandernya, Kolonel Johan Effendi Mohd. Shalleh berkata, pasukannya turut berdepan insiden tembakan antara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Hezbollah pada misi pengaman selama setahun itu.
Bagaimanapun, katanya. insiden itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa walaupun enam anggota Malbatt termasuk seorang dari 850-11 cedera akibat serangan tersebut.
“Insiden itu berlaku ketika pergerakan kami dari Lapangan Terbang Rafiq Hariri ke Selatan Lubnan.
“Ketika fasa kedua, iaitu gencatan senjata pula pasukan diberi tanggungjawab untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat Lubnan terhadap UNIFIL yang dilihat luntur.
“Fasa ketiga pula adalah untuk mendapatkan kepercayaan bagi menyambung mandat yang tamat pada Ogos 2025 sebelum ia disambung sehingga 31 Disember tahun depan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kepulangan Panglima Angkatan Tentera dan kumpulan terakhir Malbatt 850-12 dari Lubnan, semalam.
Tambahnya, Malbatt 850-13 pula berdepan kekurangan anggota apabila PBB mengarahkan keanggotaan pasukan itu dikurangkan sehingga 37.6 peratus berbanding 854 orang pada pasukan 850-12.
“Aset-aset yang berada di sana akan dibawa pulang, diserahkan atau mungkin perlu dilupus sekaligus menjadikan tempoh masa yang diambil agak lama bagi tugasan tersebut,” ujarnya.
Kontinjen terakhir Malbatt 850-12 yang terlibat dengan misi pengaman di Selatan Lubnan sejak November tahun lalu itu selamat tiba di tanah air, petang semalam.
Seramai 209 anggota yang terdiri dari kontinjen keempat itu pulang selepas setahun berkhidmat di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) beroperasi di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin, di selatan Lubnan.
Ketibaan kontinjen pada 5.30 petang di Pangkalan Udara Subang bersama tujuh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan serta Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain.
Mohd. Nizam berkata, pasukan pengaman itu menunjukkan komitmen tinggi sepanjang berdepan cabaran konflik Israel-Gaza sejak Oktober 2023.
“Insiden pada 7 November 2024 yang mencederakan enam anggota ketika pergerakan dari Beirut ke Kem Ma’rakah mengingatkan kita bahawa tugas sebagai pasukan pengaman bukanlah mudah,” ujarnya. – UTUSAN











