Trump umum perjanjian ‘bersejarah’ dengan Jepun 

Trump umum perjanjian ‘bersejarah’ dengan Jepun 

BENDERA Jepun dilihat di kawasan terminal kargo di pelabuhan Tokyo.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan perjanjian perdagangan terbesar dimeterai dengan Jepun ketika tarikh akhir rundingan semakin hampir.

Perkembangan itu menandakan kejayaan penting dalam usaha Washington mencapai perjanjian baharu dengan rakan dagang utama sebelum 1 Ogos.

Ia menjadikan Jepun antara lima negara yang menandatangani perjanjian, selain Britain, Vietnam, Indonesia dan Filipina, selepas Trump berjanji untuk mendapatkan ’90 perjanjian dalam 90 hari’.

“Saya baru sahaja menandatangani perjanjian perdagangan terbesar dalam sejarah, mungkin juga perjanjian terbesar pernah dicapai dengan Jepun,” kata Trump di platform Truth Social, kelmarin.

Trump berkata, di bawah perjanjian itu, Jepun akan melabur sebanyak AS$550 bilion (RM2.3 trilion) ke dalam ekonomi AS, yang akan menerima 90 peratus daripada keuntungan, serta membayar tarif timbal balik sebanyak 15 peratus.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai rancangan pelaburan luar biasa itu, tetapi mendakwa ia akan mewujudkan ratusan ribu pekerjaan.

Trump turut mendakwa, Jepun akan membuka pasaran mereka kepada barangan AS, termasuk kereta, trak, beras dan produk pertanian tertentu.

Eksport Jepun ke AS sebelum ini dikenakan tarif sebanyak 10 peratus, yang dijangka meningkat kepada 25 peratus pada 1 Ogos sekiranya tiada perjanjian dicapai.

Duti sebanyak 25 peratus turut dikenakan ke atas kenderaan Jepun, yang menyumbang kira-kira lapan peratus daripada jumlah pekerjaan di negara itu, serta 50 peratus ke atas keluli dan aluminium.

Bagaimanapun, wakil perdagangan Jepun, Ryosei Akazawa, yang berjaya memuktamadkan perjanjian selepas lapan kali lawatan ke Washington, mengesahkan tarif 50 peratus ke atas keluli dan aluminium akan terus dikekalkan.

Akazawa juga menjelaskan, peningkatan perbelanjaan pertahanan tidak termasuk dalam perjanjian tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berkata, negaranya menerima butiran perjanjian itu melalui wakil perunding dan akan meneliti isu kandungannya sebelum memberi maklum balas rasmi.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN