Trump tolak permohonan visa, pasukan remaja Venezuela dihalang sertai kejohanan besbol di AS - Utusan Malaysia

Trump tolak permohonan visa, pasukan remaja Venezuela dihalang sertai kejohanan besbol di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Sekumpulan remaja berbakat dari Venezuela terpaksa melupakan impian mereka untuk menyertai Kejohanan Besbol Remaja Dunia di Amerika Syarikat (AS) selepas permohonan visa mereka ditolak, mencetuskan kekecewaan mendalam dalam kalangan pemain, keluarga dan penganjur.

Pasukan berkenaan, Cacique Mara dari Maracaibo, Venezuela menewaskan pelbagai pasukan dari seluruh Amerika Latin untuk muncul juara kejohanan Liga Kecil Besbol Latin Amerika di Mexico pada 16 Jun lalu.

Kemenangan itu sepatutnya melayakkan mereka menyertai Senior League World Series di Easley, Carolina Selatan hujung minggu ini namun, hasrat mereka musnah apabila pasukan tersebut tidak dapat memperoleh visa perjalanan yang sah ke AS.

Menurut kenyataan rasmi daripada penganjur, Little League International, pihaknya amat kecewa dengan keputusan itu dan menyifatkan ia “amat mengecewakan, terutamanya buat para atlet muda yang telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini”.

Difahamkan, pasukan itu telah berada di Bogotá, Colombia sejak dua minggu lalu bagi memohon visa dari Kedutaan AS di sana namun, permohonan mereka tidak berjaya diluluskan.

“Ini adalah satu penghinaan oleh pihak penganjur untuk membiarkan kami menunggu di Bogotá dengan harapan anak-anak kami dapat mengejar impian mereka menyertai kejohanan dunia.

:Apa yang perlu kami lakukan dengan ketidakadilan ini? Apa yang boleh kami lakukan dengan kesakitan yang ditanggung anak-anak kami?” menurut pasukan tersebut dalam satu kenyataan.

Walaupun White House sebelum ini memaklumkan atlet dan pasukan sukan sepatutnya dikecualikan daripada sekatan perjalanan, insiden ini menimbulkan tanda tanya terhadap pelaksanaan dasar tersebut malah, pasukan bola tampar wanita Cuba juga telah dinafikan visa untuk menyertai satu kejohanan di Puerto Rico awal bulan ini.

AS di bawah pentadbiran Donald Trump telah menyenaraihitamkan beberapa negara termasuk Venezuela dan Cuba atas alasan keselamatan negara dan dasar tersebut telah menyebabkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara menjadi tegang, sekali gus menjejaskan sektor sukan dan pertukaran budaya antara rakyat.

Kejohanan Senior League Baseball World Series merupakan pertandingan tahunan bagi pemain berusia antara 13 hingga 16 tahun dan sentiasa menjadi tumpuan antarabangsa namun, insiden ini memberi tamparan hebat kepada semangat kesukanan dan harapan anak-anak muda yang hanya mahu mewakili negara mereka di pentas dunia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN