Trump tidak benarkan WSJ sertai rombongan media ke Scotland - Utusan Malaysia

Trump tidak benarkan WSJ sertai rombongan media ke Scotland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran White House di bawah Presiden Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyekat penyertaan akhbar Wall Street Journal (WSJ) dalam rombongan media rasmi ke Scotland.

Tindakan ini dipercayai sebagai tindak balas terhadap laporan terkini WSJ yang mengaitkan Trump dengan pesalah pedofilia terkenal, Jeffrey Epstein.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, menjelaskan keputusan tersebut dibuat berikutan “kelakuan palsu dan memfitnah” oleh WSJ.

Ia merujuk kepada laporan bertarikh 17 Julai yang mendakwa wujud surat dan lukisan berunsur seksual  yang kononnya dihantar kepada Epstein sempena ulang tahunnya yang ke-50 pada tahun 2003 dan dikatakan melibatkan Trump.

Susulan laporan itu, Trump telah memfailkan saman terhadap WSJ, menafikan kewujudan sebarang surat atau lukisan seperti yang didakwa serta menuduh media tersebut menyebarkan fitnah.

“Presiden Trump tidak akan memberi layanan istimewa kepada mana-mana organisasi media yang menyebarkan maklumat palsu dan berniat jahat,” tegas Leavitt dalam satu kenyataan.

Larangan itu turut memberi kesan kepada seorang wartawan WSJ yang dijadualkan mengikuti lawatan ke padang golf peribadi Trump di Scotland, walaupun wartawan tersebut tidak terlibat dalam penyediaan laporan kontroversi tersebut.

Sehingga awal tahun ini, penyertaan media dalam kumpulan kecil wartawan yang mengikuti pergerakan Presiden dikenali sebagai press pool dan dikendalikan oleh Persatuan Wartawan White House (WHCA), sebuah badan bebas yang mewakili organisasi media.

Namun, bermula Februari lalu, Leavitt mengambil alih kawalan sepenuhnya terhadap pengurusan kumpulan tersebut, memberikan kuasa mutlak kepada White House untuk menentukan akses media.

Kumpulan press pool ini biasanya terdiri daripada sebilangan kecil wartawan yang diberi akses untuk mengikuti Presiden dalam lawatan luar negara, sesi taklimat di dalam pesawat Air Force One serta acara tertutup seperti sesi bergambar di Pejabat Oval.

Tindakan mengecualikan WSJ ini menyusuli insiden serupa yang melibatkan agensi berita Associated Press (AP), selepas agensi itu enggan mematuhi arahan untuk menggantikan istilah “Gulf of Mexico” dengan “Gulf of America” dalam laporannya.

“Seperti yang telah ditegaskan oleh mahkamah rayuan, tiada organisasi media yang dijamin hak akses eksklusif ke pejabat Presiden, pesawat Air Force One atau ruang kerja peribadi beliau,” kata Leavitt.

Tambahnya, sebanyak 13 organisasi media dari pelbagai latar belakang telah dipilih untuk mengikuti lawatan Presiden ke Scotland, namun WSJ bukan antaranya. White House bagaimanapun tidak mendedahkan media mana yang akan menggantikan WSJ dalam rombongan itu.

WSJ tidak mengeluarkan komen rasmi mengenai tindakan tersebut. Namun, dalam kenyataan terdahulu, jurucakap akhbar itu menyatakan bahawa pasukan editorial mereka tetap yakin terhadap ketepatan laporan yang diterbitkan, dan bersedia mempertahankan diri di mahkamah.

Presiden WHCA, Weijia Jiang, menyifatkan langkah White House itu sebagai sangat membimbangkan serta bertentangan dengan semangat Perlembagaan Amerika Syarikat.

“Cubaan kerajaan untuk menghukum media atas kandungan laporan mereka harus menjadi amaran serius terhadap kebebasan bersuara dan peranan media bebas dalam sistem demokrasi,” katanya.

Beliau turut menggesa agar WSJ dikembalikan ke posisi asal mereka dalam kumpulan press pool dan diberi akses ke pesawat rasmi Presiden sempena lawatan tersebut.

Beberapa pertubuhan yang memperjuangkan kebebasan media turut menyuarakan bantahan. Pengarah advokasi Freedom of the Press Foundation, Seth Stern, menyatakan, tindakan menyekat akses media semata-mata kerana tidak menyukai laporan mereka adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan berunsur balas dendam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN