Trump tandatangan perintah eksekutif hapus gelandangan

Trump tandatangan perintah eksekutif hapus gelandangan

DUA lelaki gelandangan tidur di pejalan kaki di Taman MacArthur di Los Angeles, California. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas menandatangani satu perintah eksekutif minggu ini yang mengarahkan tindakan lebih tegas terhadap gelandangan, termasuk kemungkinan menahan mereka untuk rawatan mental atau penagihan dadah tanpa persetujuan.

Perintah itu turut menggesa ketua-ketua jabatan dalam Kabinet beliau memberi keutamaan kepada pembiayaan bandar yang menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan dadah secara terbuka dan perkhemahan di jalanan, kononnya demi mewujudkan rasa selamat dalam kalangan orang ramai.

“Memindahkan individu-individu ini ke pusat institusi jangka panjang untuk rawatan yang berperikemanusiaan adalah cara paling terbukti untuk mengembalikan ketenteraman awam,” demikian menurut teks perintah tersebut.

Langkah Trump itu dipercayai menyasarkan bandar-bandar besar seperti San Francisco, Los Angeles dan New York yang sering dikritik oleh beliau kerana didakwa terlalu longgar menangani isu gelandangan.

Namun, ramai pemimpin parti Demokrat dan aktivis hak gelandangan menyifatkan perintah itu sebagai bersifat menghukum, tidak jelas, dan tidak akan menyelesaikan akar permasalahan gelandangan yang berpunca daripada krisis perumahan, dadah murah seperti fentanyl, dan masalah kesihatan mental.

Pejabat Gabenor California, menyelar tindakan Trump yang disifatkan sebagai menggunakan stereotaip berbahaya terhadap gelandangan dan lebih mementingkan publisiti politik.

“Perintah ini lebih kepada menghasilkan tajuk berita yang mengalih perhatian dan melunaskan dendam politik lama,” kata jurucakap Tara Gallegos.

Perintah Trump memberi kuasa kepada Peguam Negara Pam Bondi serta Setiausaha Jabatan Kesihatan, Perumahan dan Pengangkutan untuk memberi keutamaan dalam menyalurkan dana kepada negeri dan pihak berkuasa tempatan yang melarang penggunaan dadah secara terbuka dan perkhemahan di jalan awam.

Isu gelandangan kekal menjadi antara cabaran sosial paling besar di AS, khususnya di bandar-bandar besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN