Trump rasmi tamatkan sekatan ekonomi AS terhadap Syria - Utusan Malaysia

Trump rasmi tamatkan sekatan ekonomi AS terhadap Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menandatangani satu perintah eksekutif yang menamatkan sebahagian besar sekatan ekonomi AS terhadap Syria bagi menunaikan janji kepada pemimpin interim baharu negara itu.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, keputusan itu bertujuan untuk menggalakkan dan menyokong laluan Syria menuju kestabilan dan keamanan.

Menurutnya, tindakan itu merupakan satu usaha untuk membuka semula laluan Syria ke dalam sistem kewangan global serta menggalakkan pelaburan dari negara-negara jiran dan juga dari AS sendiri.

Pemangku Timbalan Setiausaha Perbendaharaan untuk Kewangan Antikeganasan dan Perisikan, Brad Smith menjelaskan dalam satu taklimat kepada media bahawa perintah ini akan mengakhiri pengasingan Syria daripada sistem kewangan antarabangsa sekali gus membuka jalan kepada perdagangan global dan pelaburan semula.

Namun, tindakan itu tidak melibatkan pemansuhan sekatan yang dikenakan terhadap bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad termasuk pegawai tertinggi, ahli keluarga serta mereka yang terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia, pengedaran dadah atau program senjata kimia.

Sekatan ini dikenali sebagai Sekatan Akta Caesar (Caesar Act) dan hanya boleh dimansuhkan melalui proses perundangan di Kongres.

Teks penuh perintah eksekutif itu telah dimuat naik di platform X oleh Rumah Putih selepas ia ditandatangani secara tertutup tanpa liputan media.

Perintah ini menyusuli langkah terdahulu pada Mei lalu apabila pentadbiran Trump memberikan pengecualian sekatan berskala besar kepada Syria yang kali pertama dilakukan dalam hampir lima dekad.

Selain menamatkan sekatan ekonomi, perintah tersebut turut membatalkan status darurat kebangsaan yang diisytiharkan melalui perintah eksekutif oleh Presiden George W. Bush sebelum ini susulan penglibatan Syria dalam penjajahan ke atas Lebanon serta program senjata pemusnah besar-besaran dan peluru berpandu.

Lima lagi perintah eksekutif terdahulu berkaitan Syria turut dimansuhkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×