Trump minta Netanyahu ‘betulkan keadaan’ selepas Israel bom gereja di Gaza, bangunan kerajaan Syria - Utusan Malaysia

Trump minta Netanyahu ‘betulkan keadaan’ selepas Israel bom gereja di Gaza, bangunan kerajaan Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan terkejut dengan tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan Syria minggu lalu dan telah segera menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi ‘membetulkan keadaan’, menurut kenyataan Rumah Putih.

Insiden itu menonjolkan hubungan yang semakin tegang antara kedua-dua pemimpin, walaupun secara rasmi digambarkan sebagai sekutu rapat.

Serangan ke atas satu-satunya gereja Katolik di Gaza pada Khamis lalu mencetuskan reaksi negatif serta-merta daripada Trump, yang kemudian menelefon Netanyahu bagi menyuarakan rasa tidak puas hati serta menggesa beliau mengeluarkan kenyataan bahawa serangan itu adalah satu kesilapan.

Trump turut terkejut dengan serangan udara Israel ke atas bangunan kerajaan di ibu kota Syria, Damsyik, ketika pentadbiran mereka sedang berusaha memulihkan negara itu daripada kemusnahan perang.

“Presiden mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Netanyahu dan sentiasa berkomunikasi dengannya. Beliau terkejut dengan pengeboman di Syria dan juga serangan ke atas gereja Katolik di Gaza,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, kepada media pada Isnin.

“Dalam kedua-dua situasi, presiden segera menghubungi Netanyahu untuk membetulkan keadaan,” tambahnya lagi.

Leavitt turut merujuk kepada usaha Setiausaha Negara, Marco Rubio dalam meredakan ketegangan di Syria, di mana Trump telah melonggarkan sekatan dan menyokong presiden baharu negara itu, bekas pemimpin pemberontak, Ahmed al-Sharaa.

Trump, yang menerima kunjungan Netanyahu di Rumah Putih awal bulan ini, sudah lama mempunyai hubungan yang rumit dengan pemimpin Israel itu.

Walaupun kedua-duanya adalah sekutu politik, hubungan peribadi mereka dikatakan tidak begitu erat, dan kadangkala dilanda ketidakpercayaan bersama, menurut sumber dalaman.

Namun, hubungan mereka kelihatan semakin akrab selepas Trump menyertai kempen udara Israel ke atas Iran baru-baru ini.

Dalam satu majlis makan malam di Rumah Putih baru-baru ini, Netanyahu secara dramatik menyerahkan surat pencalonan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan kepada jawatankuasa Nobel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN