Trump dikritik bersikap sinis terhadap penguasaan bahasa Inggeris Presiden Liberia - Utusan Malaysia

Trump dikritik bersikap sinis terhadap penguasaan bahasa Inggeris Presiden Liberia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONROVIA: Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memuji kemahiran berbahasa Inggeris Presiden Liberia, Joseph Boakai, ketika pertemuan rasmi di White House telah mencetuskan kemarahan dan kekeliruan rakyat Liberia, yang menganggap ucapan tersebut sebagai sinis dan merendahkan maruah negara Afrika itu.

Dalam pertemuan dengan lima pemimpin Afrika Barat baru-baru ini, Trump secara terbuka melahirkan rasa kagum terhadap Boakai kerana mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Sungguh cantik bahasa Inggeris kamu. Di mana kamu belajar bercakap dengan begitu fasih? Di Liberia?” ujarnya.

Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Liberia, negara yang secara rasmi menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan sejak abad ke-19.

Jurucakap Presiden Boakai, Kula Fofana, ketika dihubungi media antarabangsa, menggesa supaya perhatian tidak hanya tertumpu pada kenyataan itu semata-mata.

“Kami mengalu-alukan pujian terhadap kejelasan ucapan Presiden, namun kami lebih menumpukan kepada hasil substantif yang ingin dicapai, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Liberia, Sara Beysolow Nyanti, dalam satu kenyataan di platform X berkata kenyataan Trump itu hanya merujuk kepada loghat Amerika yang memang sudah menjadi sebahagian daripada warisan linguistik Liberia.

“Kami tidak tersinggung. Warisan bahasa kami dipengaruhi oleh Amerika, dan ia sekadar diakui oleh Presiden Trump,” tulis beliau sambil menambah Liberia tetap komited dalam membina kerjasama berasaskan “rasa hormat dan nilai bersama” bersama Washington.

Namun begitu, bagi ramai rakyat Liberia, kenyataan Trump itu menambahkan lagi perasaan kecewa susulan keputusan pentadbirannya membubarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) awal bulan ini dan menamatkan dasar bantuan luar berdasarkan konsep “amal”.

Liberia yang selama ini sangat bergantung kepada bantuan AS sehingga mewakili 2.6 peratus daripada pendapatan negara kasar dianggap antara yang paling terkesan dengan keputusan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN