WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, digambarkan sebagai antara presiden paling hebat bermain golf dalam sejarah negara itu dan mungkin tersenarai dalam kelompok 50 pemain amatur terbaik mengikut usia, menurut satu analisis oleh kecerdasan buatan (AI).
Analisis yang dijalankan oleh sistem AI Grok menyatakan Trump berada dalam kedudukan yang baik sebagai pemain amatur, khususnya bagi seseorang seusianya.
AI itu menyebut purata ‘handicap’ yang dilaporkan sendiri oleh Trump adalah 2.8, satu angka yang meletakkannya dalam kelompok satu peratus teratas pemain golf amatur namun, angka tersebut turut dipertikaikan oleh ramai pengkritik.
Penulis sukan terkemuka, Rick Reilly, mendakwa angka sebenar Trump lebih hampir kepada 10 atau 12, sambil menuduh beliau sering melaporkan skor terpilih dan memperindahkan pencapaiannya.
Rangkaian Maklumat Handicap Golf AS (GHIN) juga menunjukkan hanya satu skor dimuat naik sejak tahun 2020, sekali gus meragukan ketepatan angka 2.8 yang dikemukakan Trump.
Dari sudut kekuatan permainan, AI memuji kebolehan Trump dalam pukulan, kuasa hayunan, dan ketepatan pukulan, sesuatu yang dikatakan mengagumkan untuk seseorang dalam lingkungan usia 70-an.
Walaupun ayunan Trump disifatkan sebagai tidak konvensional ia tetap menghasilkan keputusan konsisten.










