MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa sejumlah dana bernilai AS$100 juta (RM1.3 bilion) yang dikumpulkan melalui konsert amal FireAid bagi membantu mangsa kebakaran hutan di California telah ‘hilang’, lapor agensi berita Sputnik.
Konsert FireAid, yang dianjurkan oleh Yayasan Annenberg pada Januari 2025, berjaya mengumpul dana besar bagi membantu mangsa kebakaran Eaton dan Palisades yang mengorbankan lebih 30 nyawa serta menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal di kawasan Los Angeles.
Bagaimanapun, menurut laporan Fox News, dana yang pada asalnya dirancang untuk diagihkan sebagai bantuan langsung itu didapati tidak disalurkan terus kepada mangsa seperti yang dijangkakan. Sebaliknya, sebahagian dana disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan dan agensi tempatan, termasuk Daerah Los Angeles.
Trump dalam kenyataan di platform media sosial Truth Social berkata dana itu sepatutnya sampai kepada mangsa kebakaran di Los Angeles. Kebakaran itu sendiri tidak sepatutnya berlaku sekiranya ada pengurusan yang betul.
Beliau juga menyalahkan Gabenor California, Gavin Newsom, atas kelewatan bantuan dan pengurusan sumber air yang didakwanya tidak cekap.
“Gabenor enggan melepaskan berbilion gelen air dari utara California dan kawasan barat laut Pasifik. Saya telah membatalkan keputusannya dan sekarang air itu sudah dilepaskan,” dakwa Trump.
Beliau turut mengkritik kelewatan kelulusan pembinaan semula rumah-rumah yang musnah dalam kebakaran.
“Semua permit perumahan persekutuan sudah pun diluluskan, tetapi pihak berkuasa tempatan lewat bertahun-tahun. Beri kelulusan segera kepada mangsa kebakaran dan mulakan pembinaan sekarang!”
Laporan media tempatan menyatakan sekurang-kurangnya AS$6.5 juta (RM27 juta) daripada dana itu disalurkan kepada Daerah Los Angeles, namun masih tidak jelas sama ada bantuan tersebut benar-benar sampai kepada individu yang terkesan secara langsung.
Pihak FireAid dalam kenyataan terdahulu menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai mekanisme untuk menyalurkan dana secara terus kepada individu, dan perkara itu juga tidak pernah menjadi sebahagian daripada perancangan asal program tersebut.










