WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencalonkan personaliti konservatif terkenal, Nick Adams, sebagai Duta Besar AS yang baharu ke Malaysia.
Adams, seorang warga Australia-Amerika dan penyokong awal Trump, mengumumkan pencalonan itu menerusi sebuah video yang dimuat naik ke media sosial pada Rabu, dan menyifatkannya sebagai “penghormatan seumur hidup.”
“Hari ini, saya dipanggil untuk berkhidmat di luar negara . Bukan dengan pakaian seragam perang, tetapi bersenjata dengan pena diplomasi.
“Presiden kita telah menghulurkan tangan persahabatan kepada sekutu lama dan baharu di seluruh dunia,” katanya.
Adams turut mengucapkan penghargaan kerana diberi kepercayaan untuk mewakili AS di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta seluruh rakyat Malaysia.
“Ia satu penghormatan luar biasa untuk membawa hasrat murni Presiden kepada rakyat Malaysia yang hebat.
“Tuan Presiden, saya berbesar hati untuk mewakili anda dan berkhidmat demi negara kita,” katanya.
Dalam video tersebut, Adams juga menyatakan komitmennya untuk bekerjasama erat dengan kerajaan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Saya amat menantikan peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Tuanku dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kita yang bersahabat.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya tidak sabar untuk menyelami budaya anda dan belajar daripada anda,” katanya.
Adams dikenali dalam kalangan penyokong konservatif AS sebagai tokoh media sosial yang lantang, dengan kandungan sering menekankan nilai maskuliniti tradisional dan gaya hidup konservatif.
Pencalonan beliau ke Malaysia sudah pun dihantar secara rasmi ke Senat AS untuk proses pengesahan.
Menurut pemerhati politik, pelantikan ini sebahagian daripada strategi kempen Trump menjelang pilihan raya, khususnya untuk menarik sokongan pengundi lelaki muda serta pengundi Muslim yang dilihat semakin mesra terhadapnya.










