Sebulan selepas gencatan senjata, trauma rakyat Iran belum hilang

Trauma rakyat Iran belum hilang

Aliran trafik bergerak melepasi papan iklan gergasi memaparkan lukisan peluru berpandu jatuh ke Israel di sebuah jalan utama di pusat bandar Teheran, Iran. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Gencatan senjata yang menamatkan perang selama 12 hari antara Iran dan Israel bertahan hampir sebulan tanpa sebarang insiden, namun ramai rakyat Iran masih berasa bimbang, dihantui ketidakpastian dan ketakutan konflik akan meletus semula.

Serangan Israel pada Jun lalu menyasarkan fasiliti nuklear utama dan lokasi ketenteraan, mengorbankan beberapa komander kanan, saintis nuklear serta ratusan orang awam.

Kawasan kediaman juga tidak terlepas daripada sasaran kemusnahan besar yang dicetuskan rejim itu dan rakyat mula Iran berkongsi kebimbangan perang mungkin meletus sekali lagi.

“Saya rasa gencatan senjata ini tidak akan kekal lama,” kata seorang penduduk berusia 57 tahun, Peyman dari Shiraz di selatan Iran, antara bandar yang menjadi sasaran serangan udara Israel dalam kempen pengeboman terbesar terhadap musuh ketatnya itu.

Serangan tersebut mencetuskan pertempuran paling sengit dalam sejarah antara kedua-dua pihak, sebelum tamat dengan pengumuman gencatan senjata pada 24 Jun.

Namun, Israel memberi amaran akan kembali menyerang sekiranya Iran cuba membina semula fasiliti nuklear atau melakukan tindakan yang dianggap sebagai ancaman seperti membangunkan bom atom, satu dakwaan yang dinafikan Teheran sejak sekian lama.

Sebaliknya, Iran juga berikrar akan bertindak balas dengan tegas sekiranya diserang lagi.

Diplomasi nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) yang turut menyertai perang itu dengan melancarkan serangan ke atas beberapa tapak nuklear utama Iran kini terhenti, meningkatkan lagi ketidakpastian tentang apa yang akan berlaku.

“Saya takut perang akan meletus semula. Ia akan mengorbankan lebih ramai nyawa orang awam yang tidak berdosa dan menghancurkan infrastruktur negara,” kata seorang kakitangan kerajaan berusia 54 tahun, Hamid.

Sepanjang peperangan, Israel membedil beberapa bandar utama di Iran termasuk ibu kota Teheran, menyasarkan tapak ketenteraan, bangunan kerajaan dan ibu pejabat televisyen negara.

Pihak berkuasa Iran melaporkan, lebih 1,000 rakyat negara itu terbunuh sementara serangan balas Teheran menggunakan peluru berpandu dan dron mengorbankan 29 orang di Israel.

Serik berpindah

Ramai penduduk Teheran melarikan diri, mencari perlindungan di kawasan lain, meskipun beberapa wilayah terlepas daripada kesan letupan.

Hampir sebulan selepas perang, beberapa siri kebakaran yang berlaku di seluruh Iran termasuk di sebuah fasiliti minyak utama menimbulkan pelbagai spekulasi, namun pihak berkuasa pantas menafikannya sebagai perbuatan sabotaj.

“Perang ini benar-benar menakutkan saya,” kata seorang suri rumah berusia 78 tahun, Golandam Babaei dari wilayah Kermanshah di barat Iran.

Golandam berkata, walaupun lebih singkat dan kebanyakannya melibatkan serangan udara dan peluru berpandu, perang dengan Israel menghidupkan semula trauma perang Iran-Iraq.

Dia pernah melalui perang Iran-Iraq pada tahun 1980-an, satu kenangan pahit bagi generasinya.

“Saya terus berdoa, ya Tuhan, janganlah biarkan sejarah berulang,” katanya kepada AFP.

Perang tersebut, yang tercetus akibat pencerobohan Iraq pada tahun 1980, meragut kira-kira 500,000 nyawa di kedua-dua belah pihak.

Ia turut melibatkan penggunaan senjata kimia dan pengeboman yang berlarutan di barisan hadapan, meninggalkan parut mendalam dalam kalangan rakyat Iran yang ketika itu baru membentuk republik Islam selepas revolusi 1979.

Sejak itu, Iran berjaya menjauhkan konflik daripada wilayahnya, namun selepas 12 hari diserang Israel, ramai rakyat Iran mula trauma dengan peperangan dan khuatir terdedah dengan bahaya yang mendatang.

“Saya sering terfikir, saya tidak mahu melarikan diri dan berpindah lagi, kami tiada tempat untuk pergi. Saya tidak mampu lagi lari ke gunung seperti dahulu.

“Kami terus berdoa agar ada kedamaian, supaya kami selamat di rumah sendiri,” kata Golandam.

Masa depan tidak menentu

Bagi seorang veteran perang berusia 62 tahun, Ali Khanzadi, konflik dengan Israel menunjukkan perbezaan ketara berbanding era 1980-an, ketika Iran kekurangan kelengkapan ketenteraan untuk menentang tentera Iraq.

Ali yang cedera dalam pertempuran pada 1983 berkata, perang dengan Israel kali ini lebih dahsyat kerana teknologi moden membolehkan kematian berlaku dari jauh.

“Sekarang, mereka boleh membunuh kanak-kanak yang tidur hanya dengan menggunakan dron,” katanya.

Dalam menghadapi ancaman dan serangan Israel, pihak berkuasa Iran berulang kali menyeru rakyatnya mengukuhkan perpaduan nasional.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mendakwa serangan Israel bertujuan menggulingkan sistem pemerintahan ulama di Iran, dan menyeru diplomat serta pegawai tentera bertindak berhati-hati dan tepat ketika negara cuba untuk bangkit semula.

Teheran menyatakan pihaknya masih terbuka kepada diplomasi nuklear dengan AS yang tergendala akibat peperangan, namun pegawai-pegawainya menyuarakan kebimbangan kemungkinan serangan berulang dan menuntut jaminan tertentu dari Washington sebelum run­dingan dapat disambung semula. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN