TEL AVIV: Tindakan ketenteraan di Gaza, Syria dan Iran membuktikan konflik dan peperangan menjadi alat utama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengekalkan kelangsungan politiknya yang kini sudah semakin goyah.
Walaupun dalam kalangan tentera Israel sendiri mengakui siri peperangan yang dicetuskan oleh Netanyahu tidak membawa sebarang keuntungan strategik kepada rejim itu, beliau tetap berkeras melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa politiknya.
Dalam usaha mengelakkan perbicaraan bagi tuduhan rasuah yang berpotensi membawa kepada hukuman penjara, Netanyahu sanggup memanjangkan perang di Gaza, semata-mata untuk kekal berkuasa malah, tindakannya itu juga sebagai usaha terdesak untuk menyenangkan hati Amerika Syarikat (AS).
Menurut Felo Penyelidik Institut Asia Barat Universiti Nasional Singapura (NUS), Clemens Chay, peperangan yang dicetuskan umpama ‘nafas’ politik buat Netanyahu.
Netanyahu bukan asing di Rumah Putih dan lawatannya ke Washington pada awal Julai lalu merupakan kunjungan ketiganya ke AS sejak bermulanya penggal kedua Presiden, Donald Trump.
Kunjungan itu berlangsung tidak lama selepas AS melancarkan serangan ke atas tapak nuklear Iran.
Dalam suasana itu, Netanyahu tidak melepaskan peluang untuk memuji Trump, termasuk mencalonkannya untuk Hadiah Nobel Keamanan atas peranannya dalam menormalkan hubungan Israel dengan beberapa negara Arab.
Namun di sebalik pujian itu, tegas Chay, niat sebenar Netanyahu menunjukkan keamanan bukanlah keutamaannya.
Keamanan sekadar retorik
Menurut Chay, dalam isu Gaza dan Iran, Netanyahu bijak menyesuaikan pendiriannya agar selari dengan kepentingan AS, sambil melindungi kepentingan politiknya sendiri.

Hakikatnya, beliau hanya akan melakukan secukupnya untuk menampakkan seolah-olah menyokong rundingan gencatan senjata dengan Hamas dan perjanjian nuklear dengan Iran, tetapi pada masa sama terus mengutamakan tindakan ketenteraan.
Awal bulan ini, Trump menunjukkan keyakinan mengenai kemungkinan wujud gencatan senjata selama 60 hari antara Israel dan Hamas.
Belia menerusi Truth Social meyakinkan dunia perjanjian di Gaza akan dicapai pada minggu yang sama, namun selepas kunjungan Netanyahu, tiada sebarang kemajuan ketara diumumkan.
Gencatan senjata terakhir yang dimeterai hasil usaha bersama pentadbiran beKas Presiden, Joe Biden dan Trump pada Januari hanya bertahan 16 hari sebelum Israel melancarkan semula serangan udara berskala besar.
Realitinya, walaupun Netanyahu berbicara tentang keamanan, serangan Israel tetap menyasarkan rakyat Gaza yang sedang menerima bantuan termasuk membunuh dan mencederakan pekerja kemanusiaan dari Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong AS.
Kitaran keganasan ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha Netanyahu untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Hampir dua tahun selepas insiden serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang menggugat keselamatan Israel, beliau berjaya memulihkan kedudukan politiknya secara mengejut dan hasil tindakan ketenteraan ke atas Iran turut mendapat sokongan pembangkang seperti Yair Lapid.
Namun, gabungan kerajaan sayap kanan yang beliau bina kini semakin goyah dengan dua parti ultra-Ortodoks sudah menarik diri daripada kerajaan kerana isu pengecualian khidmat tentera.
Parti Shas turut menggesa Netanyahu melakukan segala yang termampu untuk capai perjanjian dengan Hama , kenyataan yang bertentangan dengan desakan sayap kanan yang mahu perang diteruskan.
Desakan daripada rakan gabungan kanan memaksa Netanyahu memberi ruang kepada idea-idea yang lebih radikal.
Antara cadangan terbaharu ialah pelaksanaan semula rancangan pemindahan penduduk Gaza melibatkan penghijrahan 600,000 rakyat Palestin ke sebuah bandar kemanusiaan yang bakal dibina di kawasan Rafah yang musnah.
Tidak peduli kritikan antarabangsa
Pada akhir Mei, Canselor Jerman, Friedrich Merz menyatakan dalam satu wawancara tindakan Israel di Gaza tidak lagi boleh dijustifikasikan atas alasan memerangi keganasan
Kenyataan ini datang daripada negara yang secara tradisinya menyokong Israel selepas Perang Dunia Kedua dan tragedi Holocaust.
Pada Isnin lalu, seramai 28 negara termasuk Britain, Perancis dan Australia turut mengeluarkan kenyataan bersama, menegaskan penderitaan rakyat awam di Gaza sudah mencapai tahap yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Namun dengan sokongan Washington, Netanyahu tampak tidak menghiraukan tekanan dunia.
Malah, beliau turut mengarahkan serangan ke atas Syria dengan alasan menunjukkan solidariti terhadap komuniti Druze Israel, tindakan yang dikatakan bercanggah dengan usaha AS untuk menstabilkan rantau tersebut.










