GAZA: Lebih 100,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza, termasuk 40,000 bayi berusia bawah setahun, kini berdepan ancaman kematian akibat ketiadaan susu formula dan makanan tambahan penting.
Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan agensi Anadolu, pihak berkuasa Gaza menyifatkan situasi yang berlaku sebagai satu bentuk “pembunuhan beramai-ramai secara perlahan,” sambil menuduh rejim Israel sengaja melaparkan populasi paling muda di Gaza menerusi sekatan ketat dan penutupan semua lintasan sempadan.
Disebabkan ketiadaan bekalan susu bayi, ibu-ibu terpaksa memberi anak mereka air kosong selama beberapa hari untuk kelangsungan hidup dan keadaan ini turut menyaksikan peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan yang kritikal di hospital dan pusat kesihatan seluruh Gaza, saban hari.
Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 122 kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, termasuk 83 kanak-kanak.
Pihak berkuasa Gaza menuntut kemasukan segera susu formula dan makanan tambahan untuk bayi, pembukaan semua lintasan sempadan tanpa syarat, penamatan sekatan haram yang dikenakan Israel, serta campur tangan segera masyarakat antarabangsa untuk menghentikan kempen pemusnahan terancang terhadap kanak-kanak.
Katanya, kerajaan Israel bersama sekutu-sekutu antarabangsa turut dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas jenayah kemanusiaan yang berlaku, sambil memberi amaran sikap berdiam diri masyarakat dunia adalah satu bentuk ‘subahat’ terang-terangan dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap kanak-kanak Gaza.











