CHICAGO: Seorang tuan rumah yang dipenjarakan selama lebih lima dekad kerana menikam seorang kanak-kanak Palestin-Amerika hingga maut serta mencederakan ibunya, dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan.
Joseph Czuba, 73, yang dihukum penjara 53 tahun tiga bulan lalu, disabit kesalahan bagi tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan jenayah kebencian terhadap Wadee Alfayoumi, 6, serta ibunya, Hanan Shaheen.
Kejadian berlaku pada Oktober 2023 di kediaman Czuba di Plainfield, kira-kira 64 kilometer dari pusat bandar Chicago.
Menurut laporan Chicago Sun-Times yang memetik Pejabat Syerif Daerah Will, Czuba meninggal dunia Khamis lalu semasa dalam tahanan Jabatan Pemulihan Negeri Illinois bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung kematian itu.
Serangan kejam itu didalangi kebencian agama, dipercayai berpunca daripada kemarahan Czuba terhadap penganut Islam selepas tercetusnya peperangan antara Israel dan Hamas beberapa hari sebelum kejadian.
Czuba dilaporkan menikam Wadee sebanyak 26 kali dan meninggalkan pisau tertusuk di tubuh kanak-kanak tersebut.
Bekas isteri Czuba, Mary turut dipanggil sebagai saksi pendakwaan dan menyatakan bekas suaminya semakin marah dan gelisah selepas tercetusnya konflik berdarah Israel-Hamas.
Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) cawangan Chicago, Ahmed Rehab dalam kenyataan menegaskan, pembunuh kejam ini sudah mati, tetapi kebencian masih terus hidup dan berleluasa.
Kes tragik ini menggemparkan masyarakat antarabangsa dan mengetengahkan lonjakan sentimen kebencian terhadap umat Islam dan rakyat Palestin di Amerika Syarikat (AS) susulan serangan Hamas di Israel pada 7 Oktober 2023.
Komuniti Palestin di Plainfield dan kawasan sekitarnya yang besar dan sudah lama bertapak, turut terkesan hebat dengan insiden ini malah, taman permainan di sebuah taman awam di daerah itu telah dinamakan sempena nama Wadee sebagai mengenang pemergiannya. – AGENSI










