Sembilan maut kebakaran di pusat jagaan warga emas di Massachusetts - Utusan Malaysia

Sembilan maut kebakaran di pusat jagaan warga emas di Massachusetts

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FALL RIVER, MASSACHUSETTS: Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dan lebih 30 lagi cedera dalam insiden kebakaran tragis di sebuah pusat jagaan warga emas di Fall River, Massachusetts pada malam Ahad.

Menurut jurucakap Jabatan Keselamatan Kebakaran Massachusetts, Jake Wark, kebakaran bermula sekitar pukul 9.30 malam waktu tempatan di Gabriel House Assisted Living Facility, yang menempatkan kira-kira 70 penghuni.

“Ramai penghuni diselamatkan oleh pasukan bomba.

“Beberapa mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala yang lain dihantar ke hospital berdekatan. Seorang daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal,” kata Wark dalam satu kenyataan.

Susulan insiden itu, seramai 50 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pihak berkuasa turut menubuhkan pusat perlindungan sementara bagi menempatkan penghuni yang terselamat.

Ketua Bomba Fall River, Jeffrey Bacon, memberitahu media beberapa penghuni dilihat berada berhampiran tingkap ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi.

Rakaman video yang tersebar di media sosial memaparkan suasana kecemasan dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelamat. Lima anggota bomba turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan semasa operasi berlangsung.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, dan pihak berkuasa masih belum mengesahkan identiti kesemua mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN