OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengumumkan negaranya merancang untuk mengiktiraf Negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menyertai gelombang sokongan antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara di Timur Tengah.
Menerusi satu kenyataan di platform X pada Jumaat, Carney menegaskan Kanada komited menyokong penyelesaian dua negara yang menjamin keamanan dan keselamatan buat rakyat Israel dan Palestin.
“Kanada menyokong penyelesaian dua negara yang menjamin keamanan dan keselamatan untuk rakyat Israel dan Palestin,” ujar beliau.
Menurutnya, Kanada akan bekerja keras di semua peringkat antarabangsa ke arah mencapai matlamat tersebut, termasuk melalui penyertaan Menteri Luar Negeri dalam Persidangan Peringkat Tinggi PBB mengenai Penyelesaian Dua Negara yang dijadual berlangsung di New York minggu hadapan.
Terdahulu, Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menyatakan hasrat untuk mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi pada September 2025 ketika Perhimpunan Agung PBB akan datang.
Bagaimanapun, langkah itu menerima tentangan keras daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mendakwa penubuhan sebuah negara Palestin akan menjejaskan keselamatan Israel.
Sementara itu, kumpulan Hamas menyambut baik pengumuman Macron dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah menegakkan keadilan buat rakyat Palestin yang tertindas.
Menurut kenyataan Hamas, hasrat Macron untuk mengiktiraf Palestin merupakan sokongan terhadap hak sah rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka di seluruh wilayah yang diduduki, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
“Langkah ini adalah ke arah yang betul demi keadilan untuk rakyat Palestin dan sokongan terhadap hak mereka yang sah untuk penentuan nasib sendiri dan pembentukan sebuah negara yang bebas dan merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” ujar kenyataan itu.
Pengiktirafan terhadap Negara Palestin kini menjadi isu penting dalam diplomasi antarabangsa, terutama ketika dunia menyaksikan penderitaan berpanjangan rakyatnya di bawah penjajahan dan sekatan berterusan di Gaza dan Tebing Barat. -AGENSI










