Sekat hakim, Trump didakwa ‘serang’ demokrasi Brazil - Utusan Malaysia

Sekat hakim, Trump didakwa ‘serang’ demokrasi Brazil

PENUNJUK perasaan memakai topeng menyerupai wajah Donald Trump dan Jair Bolsonaro dalam demonstrasi membantah tarif yang dikenakan AS terhadap Brazil di Sao Paulo, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Sekutu Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melakukan serangan langsung terhadap demokrasi Brazil selepas pentadbiran Trump mengenakan sekatan terhadap Alexandre de Moraes.

Moraes merupakan hakim Mahkamah Agung yang memainkan peranan penting dalam menggagalkan cubaan rampasan kuasa sayap kanan pada 2022.

Langkah kontroversi itu diumumkan Rabu lalu oleh Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, hanya beberapa jam sebelum Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif import sebanyak 50 peratus terhadap barangan dari Brazil, satu tindakan yang menurutnya bertujuan menangani dasar, amalan dan tindakan kerajaan Brazil kebelakangan ini.

Trump menyatakan bahawa tarif tersebut sebahagiannya berpunca daripada kemarahannya terhadap apa yang disifatkannya sebagai pemburuan politik terhadap sekutunya, bekas presiden Brazil Jair Bolsonaro, yang kini sedang dibicarakan atas dakwaan cuba merampas kuasa selepas kalah dalam pilihan raya 2022 kepada Lula.

Hakim Moraes mengetuai perbicaraan tersebut yang dijangka akan membawa kepada sabitan ke atas Bolsonaro dan kemungkinan hukuman penjara sehingga 43 tahun.

Moraes turut terlibat dalam beberapa siasatan jenayah lain terhadap Bolsonaro dan ahli keluarganya.

Dalam mengumumkan sekatan di bawah Akta Magnitsky, Bessent menuduh Moraes terlibat dalam kempen penindasan yang mencabul hak asasi manusia melalui penahanan sewenang-wenangnya dan pendakwaan bermotif politik termasuk terhadap Jair Bolsonaro.

“Moraes telah bertindak seolah-olah menjadi hakim dan juri dalam pemburuan yang tidak sah terhadap warga AS dan Brazil,” kata Bessent.

“Biar ini menjadi amaran kepada mereka yang sanggup memijak hak asasi rakyat mereka, jubah kehakiman tidak akan melindungi anda,” ulas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam satu ciapan.

Rumah Putih mengesahkan pengenaan tarif 50 peratus ke atas import dari Brazil, namun turut menyatakan bahawa pengecualian akan diberikan terhadap beberapa barangan utama seperti minyak, jus oren, kayu balak dan pesawat.

Dalam kenyataan itu, AS mendakwa tindakan tersebut sebagai tindak balas kepada penganiayaan, intimidasi, gangguan, penapisan dan pendakwaan bermotif politik oleh kerajaan Brazil terhadap Bolsonaro dan ribuan penyokongnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN