Presiden Syria terselamat tiga cubaan bunuh dalam tempoh tujuh bulan - Utusan Malaysia

Presiden Syria terselamat tiga cubaan bunuh dalam tempoh tujuh bulan

Ahmed Al-Sharaa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Presiden Syria, Ahmad Al-Sharaa dilaporkan terselamat daripada tiga cubaan pembunuhan dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan ini, menurut laporan akhbar Yedioth Ahronoth.

Cubaan pertama dilaporkan berlaku pada Mac ketika unit keselamatan Turki mengesan aktiviti mencurigakan semasa Sharaa meninggalkan Istana Rakyat (Istana Presiden).

Tiga pengawal keselamatan berjaya menggagalkan serangan itu dan menahan suspek yang kemudiannya disoal siasat.

Menurut laporan, Sharaa mengarahkan agar insiden itu dirahsiakan bagi mengekalkan imejnya sebagai pemimpin kuat dan tidak tergugat.

Cubaan kedua yang digambarkan lebih rumit berlaku semasa lawatan beliau ke wilayah Daraa di selatan Syria, berhampiran sempadan Jordan.

Pasukan keselamatan Syria dan Turki yang berperanan melindungi Sharaa mengesan dua individu mencurigakan sebeum laluan beliau kemudian diubah pada saat akhir untuk mengelakkan ancaman.

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut cubaan ketiga hampir berjaya apabila seorang lelaki bersenjata dipercayai telah memasang perangkap di Damsyik di laluan yang dijangka digunakan Sharaa dari istana ke destinasi tertentu.

Butiran penuh mengenai cubaan ini masih belum didedahkan sepenuhnya, namun ia telah mencetuskan spekulasi berhubung kepergian mengejut Sharaa dari ibu negara.

Duta Khas Amerika Syarikat (AS) ke Syria merangkap Duta ke Turkiye, Thomas Barrack dalam kenyataan berhati-hati mengesahkan wujudnya cubaan membunuh ke atas Sharaa.

Beliau menegaskan kepentingan melindungi keselamatan Presiden Syria itu dan memberi amaran tentang ancaman yang amat serius. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN