Pesawat bawa 49 penumpang terhempas di timur Russia, semua dikhuatiri terkorban - Utusan Malaysia

Pesawat bawa 49 penumpang terhempas di timur Russia, semua dikhuatiri terkorban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Sebuah pesawat penumpang jenis Antonov-24 yang membawa 49 orang terhempas di kawasan pedalaman timur wilayah Amur, berhampiran sempadan China, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa Russia pada Khamis.

Gabenor wilayah Amur, Vassily Orlov, dalam satu kenyataan di Telegram memaklumkan pesawat enjin berkembar itu dikendalikan oleh syarikat penerbangan Angara Airlines dan dalam perjalanan dari Blagoveshchensk ke bandar Tynda, sebelum dilaporkan hilang dari radar.

“Data awal menunjukkan terdapat 43 penumpang termasuk lima kanak-kanak, serta enam kru berada di dalam pesawat,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Kecemasan Russia menyatakan jumlah sebenar individu di dalam pesawat mungkin lebih rendah, sekitar 40 orang.

Pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya mengesan rangka pesawat yang terbakar di kawasan berbukit kira-kira 16 kilometer dari Tynda.

Pesawat itu disahkan sebagai Antonov-24, pesawat era Soviet yang sudah beroperasi hampir 50 tahun, dengan nombor pendaftaran menunjukkan ia dibina pada tahun 1976.

Menurut agensi pertahanan awam wilayah Amur, pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian, namun sehingga kini tiada tanda mangsa yang terselamat dikesan dari udara.

Agensi berita Interfax, memetik pegawai perkhidmatan kecemasan Yuliya Petina, melaporkan serpihan pesawat ditemui di kawasan bukit kira-kira 15 kilometer dari Tynda.

Setakat ini, 25 anggota penyelamat dan lima jentera dihantar ke lokasi, manakala empat pesawat lain bersama kru masing-masing kini berada dalam keadaan bersiap sedia untuk sebarang keperluan tambahan.

Punca nahas masih dalam siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN